HomeUtamaGerai TKPM Tawau perkasa pasaran hasil pertanian, sasar jadi destinasi Agro-Pelancongan

Gerai TKPM Tawau perkasa pasaran hasil pertanian, sasar jadi destinasi Agro-Pelancongan

Read Time:2 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pembukaan Gerai Jualan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau di Batu 13, Jalan Apas dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan pemasaran hasil pertanian tempatan selain membuka peluang pembangunan sektor agro-pelancongan di daerah ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kewujudan gerai berkenaan akan membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil tanaman mereka secara lebih berkesan sekali gus mengurangkan kos pemasaran.

Beliau berkata, pembinaan gerai tersebut merupakan hasil perbincangan bersama Jabatan Pertanian Sabah yang menyaksikan sebanyak 10 lot gerai dibangunkan bagi memberi ruang kepada pengusaha memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Pertanian Sabah atas penganjuran program perasmian Gerai TKPM Tawau.

“Kemudahan ini sudah pasti akan memberi nilai tambah kepada program dan aktiviti yang dilaksanakan di TKPM Tawau, selain membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil tanaman mereka dengan lebih efektif,” katanya ketika merasmikan Gerai Jualan TKPM Tawau, di sini semalam.

Menurut beliau, pada masa hadapan kawasan TKPM Tawau bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, malah berpotensi menjadi destinasi pelancongan berasaskan pertanian.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Jabatan Pertanian Sabah mengadakan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi meneroka kerjasama dengan pengusaha pelancongan tempatan.

“Di bawah MPT terdapat biro yang berkaitan dengan pelancongan dan saya percaya usaha ini mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan daerah selain sektor pengeluaran makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nizam turut menggalakkan usahawan tani memanfaatkan teknologi digital dan media sosial bagi memperluaskan pemasaran produk mereka selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 5.0 (IR5.0).

Menurut beliau lagi, petani perlu memperkasakan pengetahuan dalam bidang digital agar dapat memanfaatkan platform media sosial sebagai medium promosi yang berkesan.

“Kita berharap usahawan dan petani dapat menjadi pempengaruh yang memperkenalkan produk mereka serta mempromosikan kawasan ini kepada orang ramai sebagai lokasi mendapatkan hasil pertanian segar di Tawau,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa produk yang dijual di gerai berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Pertanian Sabah bagi memastikan kebanyakannya merupakan hasil keluaran pengusaha TKPM Tawau.

Tambah beliau, usaha itu juga dapat membantu menempatkan peniaga yang sebelum ini berniaga di tepi jalan ke lokasi yang lebih tersusun dan selamat.

Mengenai cadangan mewujudkan kemudahan penyimpanan hasil pertanian, beliau berkata perkara itu akan diteliti oleh Jabatan Pertanian Sabah sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan di kawasan TKPM berkenaan.

“Kita akan terus menaik taraf kawasan ini supaya lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan kesan fenomena El Nino terhadap sektor pertanian, Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Ts. Jifrin Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi situasi tersebut melalui pelbagai langkah mitigasi.

Beliau berkata, fenomena El Nino bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia dihadapi hampir setiap tahun dan jabatan mempunyai struktur organisasi di peringkat ibu pejabat serta daerah bagi mengurangkan impaknya terhadap pengeluaran makanan.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah menggalakkan penanaman secara berjadual bagi mengelakkan tanaman terdedah kepada tempoh kemuncak El Nino.

“Kita juga melaksanakan teknik pengurusan dan kawalan air dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pertubuhan Peladang,” katanya.

Menurutnya, maklumat dan panduan berkaitan perubahan cuaca akan terus disalurkan kepada petani bagi memastikan bekalan makanan di Sabah, khususnya di Tawau, tidak terjejas secara serius akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada saksi, koroner kecewa inkues Zara ditangguhkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular