KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh budaya inovasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi penganjuran Food Fest 2026 yang mengetengahkan tema ‘Sustainable Food Innovation’.
Dekan FSMP, Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata, program itu menjadi platform kepada para pelajar untuk mempamerkan hasil pembelajaran, kreativiti dan inovasi dalam pembangunan produk makanan, pembungkusan mampan sekali gus menyokong kelestarian industri.
Katanya, tema tersebut dipilih selaras dengan keperluan industri makanan masa kini yang memberi penekanan kepada penggunaan sumber secara cekap, pengurangan pembaziran makanan serta pembangunan produk yang berkualiti, selamat dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat.

“Sebanyak 16 inovasi dipamerkan pada penganjuran kali ini melibatkan penyertaan seramai 121 orang pelajar terdiri daripada 63 pelajar Program Sains Makanan dan Pemakanan menerusi kursus Food Innovation dan 58 pelajar Program Teknologi Makanan melalui kursus Food Product Development.
“Mereka didedahkan kepada keseluruhan proses pembangunan produk makanan secara sistematik dan profesional dalam menghasilkan idea dan konsep inovasi yang berasaskan data saintifik,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan program tersebut di FSMP, baru-baru ini.
Menurut beliau, pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini membolehkan pelajar mengintegrasikan ilmu dalam bidang sains makanan, teknologi makanan, pemakanan, keselamatan makanan, jaminan kualiti, pemasaran dan keusahawanan.
“Penganjuran Food Fest bukan sahaja memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, malah menjadi platform kepada pelajar mengasah kemahiran keusahawanan, komunikasi, pengurusan acara dan interaksi bersama masyarakat,” tambah beliau.
Pada majlis itu, turut berlangsung pertukaran dokumen antara Hasmadi dan wakil dari Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd (SAFMA), Sitti Noorashikin Basali sebagai tanda hasrat kerjasama bersama kedua-dua pihak.
Food Fest tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan vendor makanan, pengusaha food truck serta pelbagai pameran dan aktiviti melibatkan rakan strategik serta kelab pelajar FSMP.



