Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Oktober untuk mendengar permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu memindahkan kes rasuah yang dihadapinya ke mahkamah itu.
Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy hari ini.
Andi, 44, yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Jun lalu, memohon penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan permohonannya di Mahkamah Tinggi.
Permohonan itu dibenarkan Mahkamah Sesyen.
Pada 30 Jun 2025, Andi, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan berkaitan permohonan lesen pencarian mineral.
Bekas Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu didakwa menerima menerima RM150,000 daripada Albert Tei pada 12 Mei 2024 di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan.
Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen penerokaan Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Andi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Tei turut didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pada 15 Jun lalu, mahkamah turut melanjutkan jaminan Andi sehingga kesnya selesai.
Andi diwakili peguam Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Datin Jaharah Patimbangi, Elhanan James, Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.
LINK BERITA TERDAHULU:



