SANDAKAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil tindakan segera susulan perkongsian yang tular di media sosial berhubung keadaan kemudahan dan infrastruktur di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.
JKNS dalam satu kenyataan memaklumkan pihak pengurusan HDOK bersama syarikat konsesi penyelenggaraan hospital telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kemudahan yang menjadi perhatian orang ramai.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa isu yang memerlukan tindakan penyelenggaraan dan pembaikan bagi memastikan kemudahan hospital kekal selamat serta berfungsi dengan baik.
“Bagi perkara yang boleh diselesaikan serta-merta, tindakan pembaikan telah pun dilaksanakan termasuk membaiki pintu, kerusi roda dan beberapa kemudahan lain yang dikenal pasti.
“Baki kerja-kerja penyelenggaraan pula sedang dilaksanakan mengikut keutamaan berdasarkan aspek keselamatan, keperluan operasi serta skop penyelenggaraan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
JKNS turut memaklumkan bahawa pihak hospital akan mempertingkatkan rondaan pemeriksaan fasiliti secara berkala bersama syarikat konsesi penyelenggaraan bagi mengesan sebarang kerosakan lebih awal dan membolehkan tindakan pembaikan dilaksanakan secara lebih proaktif.
Pada masa sama, JKNS menghargai keprihatinan masyarakat yang menyalurkan pandangan secara berhemah dan bertanggungjawab berhubung keadaan fasiliti hospital.
Menurut kenyataan itu, setiap maklum balas daripada orang awam merupakan input yang amat bernilai dalam usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta memastikan kemudahan hospital sentiasa berada pada tahap terbaik demi manfaat pesakit, waris dan warga kerja.
JKNS turut menjelaskan bahawa inti pati perkongsian yang tular itu bukan bertujuan menyalahkan petugas kesihatan, sebaliknya menzahirkan harapan agar kemudahan dan persekitaran hospital terus dipertingkatkan.
Hospital Duchess of Kent merupakan hospital rujukan utama di Pantai Timur Sabah yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Sandakan serta beberapa daerah berhampiran.
Sehubungan itu, JKNS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak hospital, syarikat konsesi penyelenggaraan serta agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan dan persekitaran hospital sentiasa berada pada tahap yang selamat, kondusif serta menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.



