KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kes kehilangan kanak-kanak perempuan, Nurjilya Abdullah, 11, yang dilaporkan hilang pada 13 Julai lalu di Kampung Numbak, Sepanggar, kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 10.38 malam, 15 Julai lalu mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar di atas bukit Kampung Numbak.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.
“Identiti mangsa kemudian disahkan oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai ketika mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Beliau berkata, susulan maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya.
Syed Lot berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta mengumpul bukti berkaitan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



