5 Kluster Baharu, 350 Kes Positif Covid-19 Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

8 Jun 2021

Normimie Diun

[email protected]

KOTA KINABALU: Sebanyak lima kluster baharu direkodkan di negeri ini membabitkan kluster di tempat kerja dan aktiviti sosial.

Jurucakap rasmi COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara kluster yang direkodkan adalah kluster Ocean Blue; Segara; Coral; Tanjung Aru Baru dan Kampung Bundu Kuala Penyu.

“Kluster Ocean Blue telah merekodkan sebanyak 98 kes selepas hasil saringan yang dibuat apabila seorang lelaki berusia 29 tahun didapati bergejala dan kemudian didapati positif sejurus tiba di pangkalan.

“Manakala bagi kluster Segara, seramai 11 kes dikesan selepas seorang juruteknik di Pelantar Kinabalu Non Associated Gas (KNNAG) disahkan positif hasil saringan bergejalan pada 2 Jun lalu,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kes kluster Coral melibatkan seorang tukang masak lelaki berusia 34 tahun di Pelantar Samarang dikesan positif namun tidak mempunyai sebarang gejala dalam saringan prosedur ‘Sign Off’ kapal.

“Hasil ujian saringan telah mengesan lapan lagi kes positif manakala 274 sampel didapati negatif.

“Manakala bagi kluster Tanjung Aru Baru pula melibatkan kes seorang individu warganegara Filipina berusia 44 tahun yang disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Putatan,”katanya.

Sementara itu katanya, Kluster Kampung Bundu Kuala Penyu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti di beberapa lokaliti iaitu Kampung Bundu Batu 4, Kampung Bundu Batu 3, Kampung Tenambak, Kampung Sungai Labuan, Pekan Kuala Penyu dan Kampung Kitang.

‘Kes Indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki 45 tahun yang dikesan positif hasil saringan kontak kepada anaknya yang merupakan saringan bergejala,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *