Kumpulan Sawit Kinabalu Edar Bakul Makanan Di 15 Buah Daerah Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengedarkan bakul makanan bernilai RM1 juta kepada penduduk terjejas di 15 buah daerah di Sabah.

Daerah terlibat merupakan kawasan syarikat berkenaan beroperasi di negeri ini membabitkan Papar, Beaufort, Membakut, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Tongod, Kinabatangan, Lahad Datu, Tungku, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Bantuan bakul makanan itu kini dalam proses untuk diedarkan menerusi Pejabat Daerah dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang terlibat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu menyaksikan penyampaian replika cek sebagai simbolik daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Hajiji berkata, kerajaan sebelum ini sudah mengagihkan bantuan bakul makanan menerusi Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0 yang membabitkan sebanyak 322,122 bakul manakala BSP2.0, sebanyak 367,231 bakul.

Katanya, semua pihak harus bersatu dalam memerangi penularan COVID-19 dan paling penting adalah mendapat vaksin secepat mungkin.

“Saya berharap sumbangan daripada Sawit Kinabalu ini akan dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan,”katanya.

Terdahulu, Bacho berkata, sumbangan Kumpulan Sawit Kinabalu itu akan memberi manfaat kepada 10,000 ketua isi rumah (KIR) di daerah masing-masing dan akan memberi jaminan bahawa Sawit Kinabalu akan meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *