HomeIsu tempatanRatu Unduk Ngadau 2021 Dilantik Sebagai Duta Produk IKS Sabah

Ratu Unduk Ngadau 2021 Dilantik Sebagai Duta Produk IKS Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2021 Maya Hejnowska telah dilantik sebagai Duta Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah, sempena kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Maya, 20, menerima watikah pelantikannya di satu majlis ringkas yang diadakan di Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) di sini hari ini.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim berkata, pihak kementerian telah bekerjasama dengan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) bagi melantik Maya sebagai Duta Produk IKS Sabah selama setahun.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Maya kerana menjuarai Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2021 dan seterusnya menerima pelawaan daripada MID untuk menjadi Duta Produk IKS.

Sebagai Duta, Maya menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan akan mempromosikan produk IKS Sabah termasuklah berlakon dalam klip video Kempen “Belilah Barangan Buatan Sabah”.

Dia juga dikehendaki menghadiri majlis perasmian kempen serta mengikuti pameran atau ekspo dalam negeri yang akan dianjurkan oleh MID.

Terdahulu, Dr. Joachim berkata Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pembangunan Industri (MID) akan melancarkan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah untuk membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini tidak lama lagi.

Beliau berkata, kempen tersebut bertujuan untuk memperkenalkan produk buatan usahawan IKS Sabah kepada masyarakat di negeri ini dan masyarakat luar.

Ini untuk menggalakkan pengguna menyokong serta membeli barangan buatan Sabah.

Selain itu, katanya, kempen ini juga adalah untuk membantu mengembangkan pasaran usahawan IKS ke peringkat negeri dan luar negeri.

“Kempen ini juga bertujuan untuk membantu usahawan IKS Sabah meningkatkan semula hasil jualan akibat penularan pandemik Covid-19 dan seterusnya menambah peluang pekerjaan dalam sektor perusahaan kecil,” katanya lagi.

Dr. Joachim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menjelaskan pada masa ini, terdapat 4,000 lebih produk usahawan IKS Sabah telah berada di pasaran tempatan dan 2,340 produk yang telahpun berdaftar dalam platform rasmi e-dagang kementerian iaitu aplikasi GoBiz.

Selain itu, pihak kementerian juga telah mengenal pasti Slogan, Logo dan Lagu Rasmi dicipta khas untuk kempen Belilah Barangan Buatan Sabah ini dan akan diberitahu sewaktu pelancarannya kelak.

“Progam ini adalah salah satu Inisiatif Kementerian Pembangunan Perindustrian di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk tahun 2021,”katanya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Yang Berhormat, Tuan Tamin Zainal, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Thomas Logijin dan dan Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan 2021, Joana Datuk Kitingan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular