HomeIsu tempatanGuru Masuk Kampung Pedalaman Hantar Bahan PdPR Untuk Pelajar

Guru Masuk Kampung Pedalaman Hantar Bahan PdPR Untuk Pelajar

Read Time:2 Minute, 33 Second

BERNAMA

Tindakan Anuthra dan rakan-rakan seperjuangan beliau, merupakan antara contoh pengorbanan dan kesungguhan guru-guru di negara ini, dalam memastikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar, walaupun perlu diakui agak sukar untuk dilaksanakan pada mulanya.

Ketika tanggapan umum PdPR adalah kaedah dalam talian, namun apabila kaedah ini tidak berjalan baik atas sebab-sebab tertentu, guru-guru tidak mudah menyerah kalah dan sebaliknya mereka berusaha pula dengan kaedah secara “offline”.  Guru-guru ini gigih mencari rumah pelajarnya yang terletak di kampung, bagi menghantar sendiri bahan PdPR dan memberi penerangan.

Anuthra, 40, guru mata pelajaran Kimia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom mencari sendiri lokasi rumah pelajarnya, dengan bertanya kepada penduduk kampung seperti di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14, yang terletak 40km dari Pekan Tenom.

“Kawasan kampung biasanya tiada tanda nama (kampung), jadi kami terpaksa bertanya dengan orang-orang kampung kedudukan rumah keluarga pelajar itu, kerana sebelum ini biasanya ibu bapa yang datang ke sekolah jika ada apa-apa yang berkaitan dengan anak mereka,” katanya kepada Bernama.

Anuthra yang telah 16 tahun bertugas di sekolah berkenaan berkata, ketika melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, tiada bas mahupun kenderaan awam masuk ke kampung berkenaan, yang menyukarkan penghantaran bahan PdPR.

Beliau yang gemar makanan tempatan Sabah seperti tuhau dan linopot berkata, beliau juga menghantar  bahan PdPR menerusi aplikasi WhatsApp dan walaupun lambat diterima akibat kekangan akses internet, ia sedikit sebanyak membantu dalam usaha pembelajaran pelajarnya.

Guru yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, di sebalik pelbagai cabaran dibawa penularan COVID-19 bagi mendidik pelajarnya, beliau bersyukur kerana seramai 13 orang pelajar sekolah itu berjaya mendapat A bagi mata pelajaran Kimia, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Sementara itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort II Ag Allu Ag Omar, 50, berkata, meskipun timbul perasaan takut risiko akan dijangkiti COVID-19 ketika menghantar bahan-bahan PdPR ke rumah pelajar, namun rasa tanggungjawab sebagai pendidik mengatasi semua perasaan itu.

Beliau yang merupakan guru Bahasa Melayu dan guru kelas tingkatan lima berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, memudahkan proses penghantaran bahan PdPR ke rumah pelajar sekolah berkenaan.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan hantar modul ke sekolah dan sekolah pula akan cetak (bahan), sebelum diagihkan kepada pelajar dengan bantuan semua guru sekolah dan ibu bapa pelajar,” katanya yang telah bergelar guru sejak 1994.

Ag Allu yang berasal dari Membakut, Beaufort berkata, menghantar bahan-bahan PdPR secara manual ke rumah setiap pelajar, adalah pendekatan terbaik bagi membantu keluarga pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyediakan alat peranti kepada anak mereka, selain kekangan liputan internet.

Namun katanya, cabaran utama apabila menggunakan bahan bercetak ialah kelewatan para pelajar menyiapkan kerja-kerja sekolah berkenaan, sehubungan itu pendekatan psikologi perlu digunakan agar pelajar berkenaan lembut hati menyiapkan kerja sekolah.

“Selain itu hubungan baik antara guru-guru dan ibu bapa juga, banyak membantu memudahkan PdPR.  Bagi pelajar (beragama Islam) pula sentiasa diingatkan menjaga solat lima waktu, solat hajat dan solat Dhuha,” katanya sambil menjelaskan dua orang pelajarnya daripada 36 orang, berjaya mendapat gred A Bahasa Melayu pada SPM 2020.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tun Juhar hadir sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat 5 Divisyen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya