Lelaki Ditahan Bawa Syabu Cuba Keluar Dari PKPD Guna Bot

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Cuba selinap keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Penimbawan, Tuaran, di sini, seorang lelaki ditahan polis, semalam.

Malah ketika ditahan kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit turut didapati membawa dadah jenis syabu.

Lelaki terbabit ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu yang menjalankan operasi Op Benteng Covid-19, di kawasan Sungai Kampung Serusup, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, ketika penugasan kawalan PKPD, pasukan bot ronda PPM mengesan seorang lelaki cuba keluar dari kawasan kampung berkenaan dengan menaiki sebuah bot.

Katanya, lelaki tempatan itu kemudian ditahan kerana cuba keluar dari kawasan kampung berkenaan yang dikuatkuasakan PKPD.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu paket plastik kecil lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah syabu di badan suspek.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dadah yang dianggarkan bernilai RM150 itu turut dirampas,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek turut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 atas kesalahan salah guna kebenaran keluar dari kawasan PKPD.

“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 3 Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sementara itu, katanya, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat persisir pantai untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal. – ASIA TIMES

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *