KePKAS Akan Pastikan Terumbu Karang Rosak Jalani Proses Restorasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan memastikan Terumbu karang yang rosak akibat dilanggar sebuah tongkang yang membawa bahan binaan di perairan pulau Mabul semalam untuk menjalani proses restorasi. 

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya sudah mengarahkan para penyelam dari Taman-Taman Sabah bersama Jabatan Perikanan untuk membuat penilaian awal berhubung tahap kerosakan dan merancang program restorasi kawasan terumbu karang yang rosak.

“Selain membuat  penilaian tahap kerosakan, jika sesuai, proses restorasi awalan juga akan dilaksanakan serta-merta untuk posisikan semula terumbu karang yang rosak dan terbalik agar boleh terus hidup.

“Maklumat awal yang diperolehi, tongkang membawa muatan bahan binaan bagi projek pembinaan ESSCOM Front Operation Base (FOB) di pulau terbabit adalah di bawah syarikat Hartamas Borneo Sdn Bhd,”katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Jafry berkata, berdasarkan rekod di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS), projek pembinaan FOB tersebut telah diberikan kelulusan Laporan Cadangan Langkah-Langkah Pengurangan (PMM Report) pada 8 Februari lalu.

Walau bagaimanapun katanya, JPAS akan meneruskan siasatan berhubung perkara terbabit untuk meneliti jika ada pelanggaran dalam syarat kelulusan PMM yang telah dikeluarkan.

Dalam pada itu, beberapa pegawai daripada Pejabat Daerah Semporna bersama agensi-agensi pelaksana juga telah membuat pemeriksaan tapak dan tongkang tersebut telahpun dialihkan daripada kawasan terumbu karang tersebut.

Jafry berkata, kawasan terbabit tidak terletak dalam mana-mana kawasan yang dilindungi sama ada di bawah Taman-Taman Sabah atau Jabatan Hidupan Liar dan ini menyukarkan penguatkuasaan undang-undang.

“Jabatan Perikanan Sabah juga tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk menangani kerosakan terumbu karang di luar kawasan yang dilindungi kerana tidak terkandung dalam Akta Perikanan, 1985.

“Walau bagaimanapun, jika terdapat kekurangan daripada segi bidang kuasa dan penguatkuasaan, ia akan ditangani bersama untuk memastikan kita mempunyai peruntukan undang-undang untuk perlindungan dan penguatkuasaan, khususnya mengenai alam sekitar,”katanya.

Beliau turut berkata, kejadian itu dilihat ini serius kerana membabitkan merosakkan terumbu karang yang umumnya mengambil masa ratusan tahun untuk tumbuh dan jarang ditemui selain menjadi habitat pembiakan pelbagai hidupan marin.

“Apatah lagi perairan di sekitar daerah Semporna menjadi salah satu tumpuan selam scuba di kalangan para pelancong dalam mahupun luar negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *