SUKAN : Sabah FC IV (B19) Pelapis Pasukan Senior, Perlu Terus Tingkat Prestasi Terbaik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Pasukan B19 Sabah (Sabah FC IV) perlu mempamerkan prestasi yang memberangsangkan kerana pasukan itu merupakan pelapis kepada pasukan senior Sabah FC yang ada sekarang.

Pengarah Sabah FC Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, pasukan belia itu sewajarnya diurus dengan baik bagi membolehkan mereka mampu bersaing dalam Piala Belia sekaligus berupaya menghasilkan pemain berbakat pada masa akan datang.

“Sekiranya pasukan muda ini mampu mengetengahkan pemain-pemain terbaik dan mempamerkan aksi memuaskan sudah tentu mereka boleh menjadi pelapis kepada pemain senior.

“Ini sudah tentu boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada khidmat pemain import kerana tempat mereka boleh diisi pemain-pemain kita yang berbakat dan bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi suai kenal dengan pengurusan dan pemain pasukan B19 Sabah di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA),kelmarin.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengarah pasukan B19, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengurus pasukan B19 Sabah, Mohd Khairul Nizaem Bung Moktar  dan  penolongnya Lokman Sunggim.

Jelani yang juga Naib Presiden SAFA berkata, setiap pasukan perlu mempunyai kombinasi terbaik antara pengurusan bagi memastikan ia mampu mencapai kejayaaan.

“Kombinasi antara pihak pengurusan dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bolasepak membolehkan pasukan sentiasa berdaya maju dan berupaya menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau turut berpuas hati memandangkan pasukan B19 itu mempunyai pengurusan yang baik di samping khidmat staf kejurulatihan yang berpengalaman.

“Secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada pasukan ini khususnya pengurus kerana mampu membentuk pasukan dengan baik sungguhpun terpaksa melalui banyak cabaran terutama pandemik COVID-19,” katanya.

Pengarah Sabah FC itu juga kemudian mengadakan sesi suai kenal dengan pasukan B22 Sabah atau dikenali Sabah FC III.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *