Kerajaan Negeri Hargai Semua Petugas ‘Frontliners’ Laksana Tugas Meskipun Berdepan Pelbagai Cabaran

Read Time:1 Minute, 58 Second

TUARAN: Kerajaan Sabah merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang komited melaksanakan tugas bagi membantu menjayakan usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 khususnya di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pengorbanan petugas barisan hadapan juga perlu diiktiraf dan dihargai kerana mereka bertugas tanpa mengira waktu selain turut berdepan pelbagai cabaran.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan khususnya yang bertungkus-lumus dalam memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dibendung.

“Penghargaan sama juga saya tujukan kepada pihak polis atas tugas yang diberikan tanpa mengira waktu termasuk berdepan cuaca tidak menentu ketika bertugas.  Sebagai contoh di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemimpin Prihatin Bersama Frontliner COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Penaung Kelab Penyokong Datuk Jahid Jahim (KPDJJ) Datin Malianah Ugau dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Jahid turut mengajak seluruh masyarakat untuk terus mendoakan semua anggota yang terlibat termasuk petugas barisan hadapan yang lain sentiasa sihat ketika menjalankan tugas.

“Pada hari ini, kita menyampaikan sumbangan kepada petugas-petugas di IPD Tuaran sebagai tanda penghargaan kita kepada semua petugas barisan hadapan yang sentiasa berdedikasi dalam tugasa.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada KPDJJ dan pihak yang prihatin kerana berjaya menyelaras penyerahan sumbangan barangan keperluan ini kepada anggota barisan hadapan.  Teruskan amalan mulia ini bagi membantu pihak lain yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Polis Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya terharu dengan penghargaan yang diberikan kepada anggota barisan hadapan khususnya anggota polis.

“Terima kasih tidak terhingga atas inisiatif yang telah diambil oleh pihak KPDJJ dan beberapa kumpulan lain yang terlibat memberi sumbangan bagi membantu petugas barisan hadapan bagi memerangi Pandemik COVID-19,”katanya.

Antara barangan yang disumbangkan adalah 500 kotak air mineral, 50 kotak besar pelitup muka, dan 100 kotak minuman Isotonik jenama Tritonic.

Program diadakan dengan kerjasama Majlis Guru Besar Daerah Tuaran (MGB), Kelab Staf PPD Tuaran, Kelab Staff SK Pekan Tamparuli, Kelab Staf SK Tinambak Tamparuli, Kelab Staf SK Sungai Damit, PIBG SK Pekan Tamparuli, Masjid Ubbudiyah Pekan Tamparuli, Masjid Nur Iman Kg Jembulang Tuaran, KK Jutamas Sdn Bhd, Nihamnazh Enterprise, Cemerlang Pertama Sdn Bhd dan GB Global Enterprise.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.