SUKAN : ‘The Rhinos’ Buru 3 Mata Esok – Kurniawan

Read Time:1 Minute, 10 Second

PETALING JAYA: Pasukan Sabah FC yakin mampu memperoleh kemenangan sekaligus membawa pulang tiga mata penuh esok dalam aksi menentang PJ City FC di Stadium MBPJ malam esok (Sabtu).

Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata semua pemain kini berada dalam tahap kecergasan 100 peratus dan ini merupakan penyumbang utama bagi misi mencapai kemenangan esok.

Katanya tempoh rehat panjang hampir dua bulan dimanfaatkan sepenuhnya skuad sang badak dengan latihan dan perlawanan persahabatan untuk mencapai sasaran kemenangan esok bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super 2021.

“Saya melihat semua pemain sangat bersemangat dan dahagakan kemenangan untuk perlawanan malam esok (Sabtu) dan mengharapkan semua yang dirancang mampu dilakukan sebaik mungkin oleh para pemain dalam perlawanan esok.

“Kita sudah bersiap sedia mencipta kemenangan esok. Ini janji kita kepada pihak pengurusan Sabah FC. Lagi pun kita sudah mempunyai tempoh rehat yang secukupnya dengan mengadakan beberapa siri perlawanan untuk menguji tahap keserasian pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Sabah FC tewas 0 – 1 kepada PJ City FC dalam pusingan pertama 13 Mac lalu di Stadium Likas dan kekalahan tipis itu menjadi pengajaran kepada anak-anak buah Kurniawan dan nekad untuk tidak mengulangi kesilapan.

“Gol kemenangan PJ City FC dijaringkan yang Darren Lok sudah tentu memberi kesan kepada Sabah FC apabila tewas di laman sendiri,” katanya.

Menurutnya, beliau memohon doa semua peminat bola sepak Sabah FC agar mendoakan kemenangan mereka malam esok sekali gus memperoleh tiga mata berharga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *