Lukisan Mural Jambatan Tamparuli Bakal Jadi Tarikan Pelancong Luar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 27 Second

TAMPARULI: Lukisan Mural bercorak etnik Sabah di sepanjang tiang Jambatan Gantung Pekan Tamparuli disini akan memberi nilai tambah kepada daerah kecil itu selain menjadi tarikan kepada pengunjung khususnya pelancong luar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, lukisan itu juga bakal memberi wajah baharu kepada daerah ini yang sering menjadi laluan pengunjung dan pelancong luar ke Taman Kinabalu di Kundasang.

“Daerah ini (Tamparuli) dan jambatannya sering disebut di seluruh negara malah di seluruh dunia namun ianya belum cukup untuk memperkenalkan Tamparuli dan ia masih perlu untuk diberi nilai tambah.

“Justeru, langkah mencantikkan kawasan jambatan gantung itu dengan lukisan mural, dilihat amat bersesuaian,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau projek melukis mural di Jambatan Gantung Pekan Tamparuli, disini, kelmarin.

Hadir Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jamlin Ladin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, idea itu timbul selepas beliau mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan sekumpulan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli, Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) yang bersetuju kepada mercu tanda Tamparuli.

“Pada asalnya, kami telah berbincang untuk mencari apakah mercu tanda yang boleh kita perkenalkan untuk kawasan Tamparuli. Hasil perbincangan itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek lukisan mural yang juga merupakan salah satu langkah bagi menceria serta mengindahkan lagi kawasan yang terdapat di Tamparuli.

“Kita telah berusaha mencari peruntukan, kita berusaha mencari pelaksana, dan akhirnya sudah mulai kelihatan fasa pertama,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja bagi fasa pertama lukisan mural itu sedang giat dilaksanakan dan bakal beralih pula ke tiang berikutnya bagi fasa kedua.

Beliau berharap dengan terlaksananya lukisan mural itu akan dapat mencapai matlamat mereka untuk mewujudkan satu mercu tanda bagi pekan Tamparuli dan daerah itu secara keseluruhannya.

Selain itu, lukisan itu juga bakal memperlihatkan perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat yang terdapat di Tamparuli.

Menariknya, corak lukisan mural di semua tiang tersebut memaparkan motif budaya suku kaum yang terdapat di Tamparuli seperti Dusun, Bajau, Cina, Lotud dan lain-lain.

Katanya,bagi melaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana di samping mengutamakan aspek keselamatan, juga memerlukan penelitian khusus terutamanya melibatkan pemilihan corak-corak berkenaan.

Dalam pada itu, selain lukisan tersebut, tugu peringatan tentera Australia yang terdapat di pekan Tamparuli dan cerita mengenai lagenda Solungkoi yang terkorban di Jambatan Tamparuli juga akan diambil kira di dalam fasa seterusnya nanti bagi menarik kehadiran pelancong untuk mendapat peluang persinggahan yang berkualiti di sini.

“Bila ramai pelancong datang ke sini, tempias ekonominya itu tentu ada sekaligus, asal ada pelancong, tempias ekonomi mesti ada, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan segala-gala yang berkaitan,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar masyarakat menerima baik usaha kecil bagi memajukan kawasan Tamparuli tersebut, selain peningkatan ekonominya kelak.

“Saya mengharapkan lepas pandemik ini perlahan-lahan berlalu, bila pelancong mula datang ke sini, kita mengharapkan ada ledakan ekonomi yang boleh menokok tambah apa-apa yang sedia ada di sini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *