Kerajaan Negeri Perhalusi Cadangan Pelaksanaan Hari Kebangsaan 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperhalusi cadangan pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah penghujung bulan ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia bagi menyesuaikan sambutan dengan suasana pandemik COVID-19 yang melanda negara khususnya di negeri ini.

“Atas nasihat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, kita akan memperhalusi cadangan berkaitan perjalanan program dalam situasi semasa kes COVID-19 di negeri ini.

“Pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Tun akan kita maklumkan kepada kabinet sebagai panduan dalam membuat keputusan akhir bagaimana acara sambutan itu dilaksanakan nanti,” katanya.

Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri memaklumkan cadangan asal program adalah melibatkan 300 orang yang sudah melengkapkan vaksinasi serta membuat ujian calitan COVID-19.

Masidi (kiri) membincangkan Sambutan Hari Kebangsaan bersama Tun Juhar

“Pada cadangan asal, kita menetapkan kehadiran 300 jemputan sahaja bagi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dan perlu melengkapkan dua dos vaksin.

“Selain daripada syarat dua dos vaksin, para jemputan juga perlu menjalani saringan kesihatan sebelum hadir ke program tersebut bagi memastikan mereka benar-benar dalam keadaan yang sihat.

“Perjalanan acara sambutan juga dihadkan  tidak lebih daripada tempoh satu jam,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, disini hari ini.

Katanya, tujuan kunjungan itu adalah bagi memberikan taklimat mengenai sambutan berkenaan serta meminta pandangan bagi pelaksanaan program dalam fasa pandemik ini.

Tambah Masidi, jumlah kes yang mencecah angka 2,000 pada 17 Ogos perlu diambil perhatian oleh masyarakat dan melihat ia sebagai isyarat untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan./PENERANGAN.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *