Ahli Politik Perlu Bersatu Hati, Utamakan Kebajikan Rakyat, Elak Perbalahan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ahli-ahli politik di negara ini perlu bersatu hati dalam memastikan pandemik COVID-19 yang melanda negara dapat dikawal dengan baik.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata, pemimpin politik juga perlu mengutamakan kebajikan rakyat yang kini terjejas teruk ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Ketika pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini, sebarang perbalahan antara ahli politik perlu dielakkan dan seharusnya memberi fokus utama kepada isu kebajikan rakyat yang kini ramai terkesan termasuk kehilangan sumber pendapatan.

“Kita semua sedia maklum, yang kurang berkemampuan akan bertambah miskin, dibuang kerja dan yang bekerja sendiri pula seperti peniaga kecil amat terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Penyelidik Geopes (Kajian Elektoral Geo-Politik Borneo) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS berkata, langkah pengawalan bagi mengatasi pandemik COVID-19 ini juga perlu terus dibincangkan dan ditangani bersama.

Ketika ditanya mengenai situasi politik semasa, Dr Haryati berkata, keadaan politik negara kini dilihat tidak stabil selain rapuh disebabkan tidak ada parti politik dominan yang mampu menerajui kerajaan.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan ‘serpihan’ dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah bergabung bersama parti lain bagi menubuhkan kerajaan PN pada Februari 2020 yang lalu.

“Kerajaan PN yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini telah bergabung dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS); Barisan Nasional (BN) dan menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Kerajaan gabungan seperti ini dilihat tidak akan ‘kukuh’ dimana tidak terdapat satu parti yang mempunyai kerusi yang besar menyebabkan hubungan kerjasama itu boleh retak bila-bila masa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Haryati berkata pembubaran Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika ini dilihat belum bersesuaian ekoran jumlah kes positif COVID-19 masih berada pada tahap tinggi.

Katanya, Malaysia juga ini masih belum mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi selain masih belum mencapai 60 peratus penduduk di negara ini di vaksinasi penuh.

“Di Sabah, misalnya peratusan yang menerima vaksin lengkap masih rendah. Banyak lagi kawasan luar bandar yang belum menerima vaksin.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengumumkan sebanyak 484 kawasan di Malaysia atau 79 peratus adalah zon merah COVID-19. Ini terlalu merbahaya buat semua jika PRU diadakan sekarang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah pelaksanaan e-Undi diperkenalkan sebagai satu cara pengundian yang lebih selamat ketika mendepani pandemik COVID-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *