Dua Pelajar PhD UMS Raih Kemenangan Peringkat Antarabangsa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Dua pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih kemenangan peringkat antarabangsa dalam ESL Online International Summer Course anjuran Universiti Institut Pertanian Bogor, Indonesia pada 9 – 27 Ogos 2021.

Jacqueline Joseph, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Perhutanan di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS dinobatkan sebagai juara Podcast bagi Kategori Individu dengan tajuk Living with Climate Change:  Convincing the Sceptics.

Beliau turut memenangi tempat kedua dalam Penulisan Jurnal Pembelajaran bagi Kategori Pascasiswazah bertajuk Post Covid-19 Era: Impetus to Resilient Plans for Sustainable Climate Change Adaptation.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Jacqueline dianugerahkan naib johan dalam kalangan lima peserta terbaik pada pertandingan tersebut yang dianjurkan secara maya.

Seorang lagi peserta UMS, Daniel James turut mengukir pencapaian manis apabila muncul juara dalam Penulisan Jurnal Pembelajaran Pascasiswazah melalui tajuk Our Actions Today: Our Future Tomorrow.

Beliau turut menjadi juara dalam Podcast kategori berkumpulan melalui penyertaan bersama peserta Filipina dan Indonesia.

Mereka mengenepikan kumpulan lain melalui tajuk Podcast, Economic Development: Friends or Enemy of mother Nature?

Pencapaian itu membawa Daniel yang juga pelajar PhD di FPT UMS untuk dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kalangan lima peserta terbaik ESL Online International Summer Course.

Sementara itu, Jacqueline ketika dihubungi berkata, beliau tidak menyangka atas pencapaian yang diperoleh memandangkan persaingan yang sengit daripada kalangan peserta antarabangsa.

“Saya mengambil pendekatan untuk mencabar keberanian diri menyuarakan pendapat melalui media Podcast bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan perubahan iklim dunia sebagai kesedaran kepada orang ramai.

“Pada masa yang sama, saya juga telah menanam tekad mahu mengharumkan nama Malaysia khususnya UMS di peringkat antarabangsa.

“Tanpa disangka, saya diumumkan untuk meraih beberapa kemenangan, dan begitu juga dengan rakan saya Daniel.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, khususnya kepada UMS dan Fakulti Perhutanan Tropika. Kejayaan ini merupakan kejayaan kita semua,” kata Jacqueline.

Bertemakan Reducing Carbon Footprints Lesson Learned for Post Covid-19 World, pertandingan dalam bentuk kursus itu disertai 29 universiti dari 13 buah negara termasuk Australia, Rusia, Haiti, Filipina, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, dan Nigeria.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *