HomePolitikPolitik Malaysia Cipta Sejarah Baharu, Kerajaan Dan Pembangkang Tandatangani MOU Dalam Urus...

Politik Malaysia Cipta Sejarah Baharu, Kerajaan Dan Pembangkang Tandatangani MOU Dalam Urus Tadbir Negara

Read Time:2 Minute, 21 Second

KUALA LUMPUR — Politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU atau Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan manakala bagi pihak Pakatan Harapan (PH) diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ismail Sabri berkata, memorandum itu membentuk satu kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam MoU oleh kerajaan dan ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menasihatkan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah ketika menghadapi masalah.

Dalam pada itu Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke  berkata Kerajaan telah memberi jaminan untuk tidak membubarkan Parlimen atau mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum 31 Julai 2022. 

Beliau menyatakan perkara itu merupakan elemen utama yang membuatkan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, hari ini. 

Menurut beliau, jaminan tersebut perlu bagi memastikan setiap perkara yang dijanjikan dalam persefahaman itu dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

“Kita akan berusaha sepenuhnya untuk menangani COVID-19 dan tidak timbul ada keperluan mendesak untuk adakan pilihan raya secara mengejut.

“Jadi, kita memberikan kestabilan tersebut dengan menandatangani MoU dan Parlimen ini akan berfungsi sehingga Julai 2022 iaitu tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai atau berlanjutan sehingga akhir tempoh (penggal),” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan persefahaman itu merupakan suatu momen yang bersejarah untuk pembaharuan dan kestabilan politik di Malaysia di samping akan memainkan peranan yang penting untuk pelan-pelan mentransformasi Parlimen. 

Justeru, beliau mengharapkan agar kerjasama itu akan mencorak pembaharuan minda politik yang sihat agar kita semua dapat memberikan khidmat yang baik dan tulus untuk rakyat. 

“Sebentar tadi, saya telah menghadiri Majlis Memorandun Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama antara Kerajaan Persekutuan dan PH. 

“Saya bersyukur kerana kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan dwipartisan,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kerajaan negeri tidak pinggir wakil rakyat pembangkang, tetap...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya