PPN Fasa 2: Sabah Benarkan 10 Jenis Operasi & Aktiviti Dibuka Isnin Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri memutuskan untuk membuka lebih banyak operasi dan aktiviti mulai Isnin ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 10 jenis operasi dan aktiviti akan dibenarkan selepas prosedur standard operasi (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua Sabah dikemaskini dan diwartakan.

“Antaranya aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin.

“Selain itu, aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, Zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara individu dan  berkumpulan di gimnasium atau pusat kecergasan yang sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah) adalah dibenarkan dengan syarat jurulatih dan peserta telah lengkap divaksin,” katanya.

Masidi berkata, aktiviti ‘hiking’ turut dibenarkan kepada individu telah lengkap divaksin yang dilakukan secara individu atau berkumpulan yang mematuhi 50% kapasiti kawasan atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah).

Katanya, turut dibenarkan Pusat Latihan Maritim dan Pusat latihan Penerbangan (udara) dan darat untuk beroperasi dengan syarat telah lengkap divaksin.

“Aktiviti kolam memancing dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang dalam daerah yang sama dengan syarat pekerja dan pelanggan telah lengkap divaksin dengan mematuhi 50 peratus  kapasiti atau tidak melebihi 30 orang (mana-mana lebih rendah).

“Kerajaan turut membenarkan aktiviti kapal persiaran domestik di dalam perairan negeri Sabah dengan 50 peratus kapasiti dengan syarat semua anak kapal dan pekerja dan penumpang telah lengkap divaksin namun aktiviti kelab malam dan pub tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, mesyuarat secara bersemuka adalah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap divaksin dengan 50 peratus kapasiti bilik mesyuarat.

Katanya, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang telah divaksin.

“Turut dibenarkan beroperasi adalah operasi kilang dan kedai minuman keras dengan syarat pekerja telah lengkap divaksin. Walau bagaimanapun kelab malam, pub dan pusat karaoke tidak dibenarkan.

“Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang telah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi, namun kemasukan sebenar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT,” katanya.

Katanya, SOP terperinci beberapa operasi dan aktiviti ini akan dikeluarkan pada hari esok.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *