Sabah Cadang Beralih Sistem Zon Jumaat Ini, Setiap Daerah Perlu Capai Nilai Ambang 60 Peratus Vaksinasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah bercadang untuk beralih ke sistem zon sebagai peralihan berkala daripada sekaran rentas daerah kepada rentas zon bermula Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelaksanaan itu akan tertakluk kepada syarat kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa negeri Sabah telah mencapai 60 peratus.

“Selain itu, setiap daerah dalam setiap zon juga perlu dan telah mencapai nilai ambang 60 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin.

“Daerah-daerah dalam zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi dengan sendirinya terkeluar daripada zon berkenaan sehingga daerah tersebut mencapai nilai ambang 60 peratus kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Beliau berkata, ini bermakna mana-mana daerah yang belum melepasi syarat yang ditetapkan akan kekal dengan status sekarang.

Pada ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 pada Khamis lalu, Masidi memaklumkan Sabah akan mula membenarkan aktiviti rentas daerah mengikut zon mulai 1 Oktober ini.

Katanya, keputusan itu selepas pembincangan dibuat bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

“Kami sepakat agar pada masa terdekat ini, Sabah kembali kepada sistem zon (rentas daerah) dengan syarat 60 peratus populasi dewasa di setiap zon divaksin.

“Bagaimanapun, saya juga mencadangkan agar kebenaran rentas daerah di seluruh Sabah akan dibenarkan selepas tahap vaksinasi mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus.

“Setiap keputusan mahupun perubahan akan dilakukan berdasarkan analisis terhadap data dan situasi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *