Polis Tahan Seorang Wanita Kes Tipu Jual Beli Kuih Tradisional Di Beaufort

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

BEAUFORT: Seorang wanita telah ditahan oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort semalam, disyaki terlibat dalam kes penipuan jual beli kuih tradisional dan bahan membuat kuih.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pada 4 Oktober 2021, jam 7.00 malam, bertempat di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, pengadu bersama dua orang anggota BSJK IPD Beaufort telah menjalankan tangkapan ke atas suspek wanita berumur 43 tahun itu kerana terlibat dalam kes penipuan jual beli kuih tradisional dan bahan membuat kuih.

Menurut Yusoff, pengadu dalam kes ini telah kerugian sebanyak RM13,610.00 apabila suspek datang ke rumahnya pada 3 September 2021 dan menawarkan tentang pembelian serta pembuatan kuih tradisional dengan menawarkan pengadu untuk membuat 10,000 balang kuih dengan harga RM58.00 sekilo.

“Pengadu berminat dan telah memindahkan wang secara berperingkat sebanyak RM13,610.00 ke akaun BSN suspek untuk pembelian bahan membuat kuih dan balang.

“Namun sehingga tarikh pengadu membuat laporan polis pada 30 September 2021, pengadu tidak menerima apa-apa kuih yang telah dijanjikan,” kata Yusoff.

Hasil soal siasat awal mendapati, suspek ada berurusan dengan mangsa dan menerima wang bagi urusan jualan dan tawaran membuat Kuih.

Turut dirampas semasa tangkapan itu, sekeping kad ATM BSN.

“Berikutan kes tersebut, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dijalankan dan tangkapan akan dipohon reman hari ini di Mahkamah Beaufort,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *