COVID-19 : Sabah Catat Penurunan Angka Kes Yang Besar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID

KOTA KINABALU : Sabah terus mencatatkan penurunan yang agak besar iaitu sebanyak 199 kes dan membolehkan jumlah kes negeri ini berada dibawah paras angka 600.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia merupakan angka terendah yang dicatatkan sejak 24 Julai  lalu dimana pada hari ini  sebanyak 562 kes baharu dicatatkan.

“Sejajar dengan trend penurunan kumulatif harian kes yang agak besar, bilangan daerah yang mencatatkan penurunan kes juga adalah lebih banyak daripada daerah yang mencatat peningkatan kes harian.

“Sejumlah 18 daerah mencatat penurunan dan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes manakala satu daerah kekal dengan catatan sebagaimana semalam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, tidak ada daerah yang mencatatkan angka jangkitan baharu tiga angka dan hanya daerah Beluran yang mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka.

Katanya, beberapa daerah lain menunjukkan penurunan kes yang agak signifikan iaitu Kota Belud -36 kes, Kota Kinabalu -35 kes, Tuaran -34 kes, Tenom -26 kes, Kota Marudu -14 kes, Tambunan -14 kes, Ranau -13 kes dan Lahad Datu -11 kes.

“Faktor luaran yang menjadi pembolehubah dalam mempengaruhi angka jangkitan setiap hari tidak boleh diramal dengan tepat kerana masih terdapat kes yang didaftar lewat sehingga lima hari dan seterusnya.

“Sebagai misalan Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 65 kes yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, Penampang 24 kes, Papar 27 kes, Ranau 19 kes dan Tenom 22 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kejayaan mengawal penularan baru yang akan mengakibatkan peningkatan kes banyak berkait-rapat dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap semua prosedur standard operasi (SOP) yang berkuatkuasa.

Katanya, secara perbandingan peratusan kes yang dicatat melalui Saringan Bergejala kekal tinggi iaitu hampir 34 peratus.

“Ini satu peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi semua SOP sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti virus COVID-19.

“Jumlah kes secara keseluruhan pada hari ini ialah 562 kes, tetapi kes sebenar yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam lepas hanyalah 294 kes, yakni 52.31 peratus daripada jumlah kumulatif kes hari ini,” katanya.

Tambahnya, pesakit kategori dua  kekal kumpulan terbesar hampir 79 peratus (443 kes), kategori satu, 14.8 peratus (83 kes), kategori tiga sebanyak empat  orang dan kategori empat dan Kategori lima, masing-masing tiga orang pesakit manakala 25 kes lagi masih dalam siasatan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *