COVID-19: Jumlah Kes Positif Di Sabah Masih ‘Turun Naik’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif COVID-19 di negeri ini masih dalam keadaan ‘turun naik’ iaitu sebanyak 720 kes direkodkan hari ini berbanding semalam 691 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walaupun kes kumulatif Negeri Sabah naik hari ini, namun jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes adalah lebih banyak iaitu 16 daerah berbanding daerah yang mencatatkan peningkatan kes iaitu 11 daerah.

Menurut Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri dalam kenyataannya, daripada 720 kes yang didaftarkan hari ini, 470 kes atau 65.28% merupakan kes-kes yang didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Katanya, seluruh bandar-bandar utama juga mencatatkan penurunan kes kecuali Putatan dan Kudat, yang masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak 29 kes dan 28 kes berbanding semalam.

Sungguhpun demikian, hanya empat daerah yang mencatatkan penurunan pada julat dua angka iaitu Ranau menurun 41 kes, Pitas 41 kes, Kota Kinabalu 11 kes dan Kunak 10 kes.

Manakala, daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang agak ketara ialah Kinabatangan meningkat sebanyak 40 kes, Keningau 23 kes, Tenom 13 kes dan Beaufort 10 kes.

“Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian,” jelas Masidi.

Dalam pada itu, kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah berpunca daripada Saringan Bergejala iaitu sebanyak 253 kes atau 35.14% daripada angka keseluruhan.

“Ini adalah satu petanda bahawa tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan penduduk belum begitu memuaskan,” ujar Masidi lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *