Program MENITI UMS Beri Peluang Kedua Pelajar B40 ke Menara Gading

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Program MENITI inisiatif Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus dilaksanakan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar Sabah dari golongan isi rumah B40 yang gagal atau tercicir dalam permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) melalui saluran UPUOnline untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. 

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, program tersebut yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS sejak tahun 2013 bertujuan memberi peluang lebih ramai pelajar B40 yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda.

“Pada tahun ini, seramai 201 calon pelajar B40 dari pelbagai daerah telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian bagi program akademik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF).

“UMS melihat peluang pengajian tinggi kepada anak-anak dari keluarga B40 ini perlu agar mereka dapat belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri dan keluarga serta keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat tawaran kepada calon-calon di sembilan buah rumah di daerah Papar, Membakut dan Beaufort baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Taufiq berkata calon-calon yang tersenarai dalam program MENITI ini merupakan mereka yang mencapai syarat kelayakan minimum untuk melanjutkan pengajian di Universiti Awam tetapi tidak berjaya atau tercicir dalam sistem UPUOnline kerana bersaing dengan rakan-rakan yang mempunyai keputusan akademik lebih tinggi.

“Tetapi UMS melihat keperluan dari sudut sosio ekonomi keluarga, keupayaan dan syor dari ketua kampung atau guru sekolah, maka kita menawarkan satu peluang untuk mereka belajar.

“Ramai pelajar dari program ini sebenarnya berjaya sehingga mendapat kelas pertama dalam pengajian walaupun mereka dari golongan susah dan tidak cemerlang pada awalnya di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Taufiq memaklumkan rombongan UMS turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada keluarga pelajar sewaktu mereka menyerahkan sendiri surat tawaran.

“UMS amat prihatin dengan keadaan keluarga calon pelajar apatah lagi dalam musim Pandemik COVID-19 pada ketika ini yang banyak menjejaskan ekonomi rakyat, justeru diharapkan sumbangan yang disampaikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga pelajar,” kata Taufiq.

Sementara itu, salah seorang calon pelajar dari Kampung Brunei Laut, Membakut, Mariani Mahadi tidak menyangka rombongan UMS yang diketuai Taufiq datang sendiri ke rumahnya untuk menyerahkan surat tawaran.

“Program sebegini jarang diadakan apatah lagi Naib Canselor sendiri sanggup turun padang, justeru saya menganggap ini sebagai rezeki saya dan keikhlasan rombongan dari UMS lebih mendorong saya untuk terus sambung belajar,” katanya yang ditawarkan program Seni Kreatif.

Seorang lagi calon pelajar yang menerima tawaran pengajian program Pemasaran, Siti Nursyafiqah Fatin Muhajirin Hannasi berkata beliau sememangnya amat teringin untuk menyambung pengajian di universiti.

“Pada mulanya saya agak kecewa apabila mendapat keputusan dari sistem UPUOnline yang menyatakan saya gagal dalam permohonan, namun peluang kedua ini benar-benar membuat saya teruja.

“Saya amat gembira dengan tawaran ini, dan nekad untuk berusaha dengan lebih baik dan mencontohi abang dan kakak saya yang juga berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat universiti,” ujar Siti Nursyafiqah.

Turut serta dalam acara penyerahan surat tawaran ke rumah pelajar tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik, Darwis Awang; Timbalan Dekan ASTiF, Dr. M Fazmi Hisham; dan Ketua Program Pemasaran, Dr. Bamini a/k Balakrishnan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *