HomeSukanKehilangan Fokus Punca Sabah FC Tewas Tipis

Kehilangan Fokus Punca Sabah FC Tewas Tipis

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya kehilangan fokus mengakibatkan pasukannya tewas tipis kepada Melaka United pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia yang berkesudahan 1-0 di Stadium Likas malam tadi.

Kim Swee berkata, para pemain dilihat tidak bermain dengan baik terutama sepanjang 20 minit pertama perlawanan.

“Sudah tentu ini bukan keputusan yang baik untuk kita dimana 20 minit pertama kita tidak bermain dengan baik, pertahanan juga sama.

“Pada separuh masa kedua kita hilang fokus di mana kita membenarkan larian-larian penting iaitu di bahagian tengah dan kita dibolosi dengan satu gol,”katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Hasrat Sabah FC untuk mengekalkan momentum kemenangan yang dilakar dalam dua perlawanan terakhir aksi Kumpulan D sebelum ini tidak tercapai apabila dibolosi pasukan pelawat menerusi jaringan pemain import Melaka United Sony Norde pada minit ke-52.

Namun, Kim Swee tetap memuji persembahan anak buahnya yang cukup baik terutama dengan kemampuan mereka untuk terus bertahan walaupun berdepan dengan pemain berkualiti dari Melaka khususnya pemain import.

Katanya, kehadiran pemain-pemain muda dalam skuadnya yang dilihat belum mempunyai banyak pengalaman berjaya membuktikan mampu bermain dengan baik walaupun berdepan pemain lebih berpengalaman.

“Secara keseluruhan, saya percaya pemain memberikan persembahan yang cukup baik kerana dapat bertahan sedangkan kita tahu pasukan Melaka mempunyai ramai pemain yang berkualiti terutama pemain import mereka.

“Namun, apa yang positif bagi saya adalah pemain muda yang kita turunkan seperti Gerald Gadit, Hanafie Tokyo dan Mohd Sahrizan Saidin, mereka membuktikan boleh bersaing dengan pemain yang cukup berkualiti namun kita tidak mendapat keputusan yang dikehendaki,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, Sabah FC perlu mendapatkan gol dan mencipta kemenangan pada perlawanan timbal balik di Melaka pada Khamis ini.

“Usaha kita masih belum berakhir dan apa saja boleh berlaku dan saya percaya dengan percaturan yang betul kita mampu mengejutkan Melaka United di Melaka nanti.

“Perancangan utama adalah untuk mendapatkan gol kerana tanpa gol kita akan terkeluar. Apabila kita mendapat gol, saya percaya ini akan memberi tekanan kepada Melaka.

“Namun, kita juga perlu berhati-hati kerana Melaka juga pasti akan mengubah corak permainan. Pada masa sama kita tidak boleh terburu-buru, tujuan utama kita adalah mendapatkan gol apabila di Melaka nanti,” katanya.

Sabah FC akan berlepas awal ke Kuala Lumpur hari ini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebagai persediaan bertemu Melaka United.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular