KBS Malaysia Perlu Pertimbang Agihan Peruntukan Lebih Besar Kepada Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia perlu mempertimbangkan pengagihan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah bagi melaksanakan program belia dan sukan di negeri ini pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, ia bukan sahaja pada tahun depan malah peruntukan itu juga perlu diagihkan dengan jumlah yang lebih besar pada tahun-tahun seterusnya.

“Saya ingin memohon agar pihak KBS Malaysia dapat mempertimbangkan pengagihan peruntukan bagi pelaksanaan program belia dan sukan yang lebih besar untuk tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya selaras dengan keluasan negeri Sabah.

“Sabah mempunyai keluasan 69,993 KM persegi dengan enam bahagian serta 27 buah daerah penuh selain 11 daerah kecil dan mempunyai taburan penduduk yang tidak sekata dan faktor geografi dengan jumlah penduduk belia seramai lebih kurang 3.3 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah 2021 disini hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara KBS Malaysia Datuk Dr Wasitah Mohd Yusuf.

Ellron berkata, faktor itu turut menyukarkan gerak kerja untuk pembangunan belia di negeri Sabah dengan sumber kewangan yang begitu terhad.

“Justeru, dengan pengagihan program yang banyak serta mencukupi akan dapat memudahkan pegawai belia dan sukan di negeri Sabah mendekati belia yang berada jauh di kawasan pedalaman.

“Ini juga bagi memastikan tidak ada golongan belia yang akan tercicir dalam arus pembangunan modal insan dan fizikal bagi memastikan belia-belia di negeri Sabah mendapat manfaat daripada belanjawan 2022 negara yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *