Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang kepada Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Kerajaan Peruntuk Lebih RM2 juta Iktiraf Kepentingan Dan Sumbangan Wanita Di Sabah – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dalam Belanjawan 2021, bagi melaksanakan pelbagai projek serta program untuk pembangunan wanita di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, peruntukan itu sebagai bukti kerajaan negeri terus mengiktiraf kepentingan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Anugerah Usahawan Wanita Harapan kepada Pengasas Chanteek Borneo, Anne Antah pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Beliau berkata, golongan wanita seperti juga lelaki turut menggalas tanggungjawab yang sama penting sebagai pemangkin pembangunan dan rakan kongsi strategik kerajaan dalam mencapai hala tuju pembangunan negeri, khususnya berkaitan wanita di negeri ini.

“Justeru, kerajaan negeri akan terus memberi peruntukan bagi pembangunan dan menghargai kepentingan wanita dalam pembangunan di negeri ini. Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan dan sumbangan wanita di negeri ini, terutama ketika pandemik COVID-19.

“Kerajaan akan terus berusaha memastikan golongan wanita di Sabah sama ada di bandar atau luar bandar, berdaya saing dan mempunyai daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam mendokong aspirasi kerajaan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Hajiji mahu Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) berganding bahu untuk pembangunan wanita di Sabah terutama dalam tempoh pandemik COVID-19 Ini.

“Ini kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara yang paling penting, bukan sahaja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara. Saya berharap peruntukan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya untuk mengadakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada golongan wanita di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan turut merakamkan tahniah kepada MPWS yang telah mewujudkan dua inisiatif yang memberi manfaat besar kepada wanita negeri ini iaitu Program Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs (CreaM@YWE) dan Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan).

“Saya dimaklumkan menerusi program CreaM@YWE, seramai 50 lagi usahawan wanita muda akan menyertai program ini pada tahun depan, susulan kejayaan program yang pertama pada tahun 2018. Saya berharap lebih ramai usahawan yang berdaya maju dan komited dapat dilahirkan sekali gus menyahut seruan menjadi majikan atau “Job Creator”.

“Begitu juga menerusi projek AKWan yang julung kali di Sabah, ia akan menjadi platform untuk memperkasa wanita di negeri ini menerusi pelbagai program serta modul kepimpinan. Projek ini akan membabitkan pemimpin politik, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti bandar dan luar bandar serta pemimpin muda,” katanya sambil menambah seramai 228 wanita akan terbabit dalam projek ini.

Ketua Menteri percaya dengan adanya projek ini, pembangunan negeri Sabah khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan lebih maju dengan penglibatan wanita dalam kepimpinan dan membuat keputusan.

“Walaupun pada tahun ini, negara masih berdepan pandemik, tetapi syabas kepada MPWS kerana telah mengadakan sebanyak 12 webinar dalam pelbagai topik, terutama yang berkaitan cabaran dan cara menghadapi pandemik COVID-19 sepanjang tahun ini,” katanya
.
Turut hadir isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengerusi MPWS, Datuk Dr Tarsiah TZ Taman merangkap Pengerusi Induk Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri dan Pengarah JHEWA, Rusnah Kuyung.

Ketua Menteri turut menyampaikan anugerah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Masnah Matsalleh, yang menerima Anugerah Wanita Cemerlang sempena majlis itu.

Lima lagi penerima anugerah lain iaitu Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar diberikan kepada Maina Hailin @ Ambau, Anugerah Khas Individu Lelaki, Datuk Jalidar Abd Rahim; Anugerah Usahawan Wanita Harapan, Anne Antah; Anugerah Persatuan Wanita Harapan, Pertubuhan Wanita Sinar Sabah dan Anugerah Usahawan Wanita Cemerlang, Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *