MAFI Peruntuk RM50 Juta Laksana Program Pertanian Organik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

BELURAN : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sejumlah RM50 juta di bawah Dana Jaminan Makanan (DJM) bagi Program Pertanian Organik.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dana bagi program itu melibatkan 1,000 komuniti atau kelompok merangkumi projek-projek pertanian, penternakan dan perikanan.

Katanya, dana itu telah diberikan kepada beberapa jabatan dan agensi di bawah MAFI bagi melaksanakan program berkenaan.

“Sebanyak RM13.55 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi tujuan penternakan.

“Setakat ini program berkenaan telah memberi manfaat kepada seramai 863 orang peserta yang melibatkan 253 komuniti. Antara projek yang dijalankan melalui program ini meliputi ternakan ayam kampung, ternakan itik, ternakan puyuh, arnab dan kambing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pertanian Organik (Ternakan) di Kampung Batangon Darat, Daerah Kecil Paitan, disini semalam.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri; Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah DVS, Dato’ Dr Norlizan Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Joloning Joe Majambu, Pengurus Wilayah Pantai Timur (KPD), Herman Soibun, dan Pengawai Penguasa Daerah Lembaga Tabung Getah (Paitan), Julian Ulos.

Dr Ronald berkata, bantuan melalui program ini adalah dalam bentuk geran yang antaranya bertujuan untuk membina reban, mendapatkan anak-anak ayam, makanan ayam organik, peralatan dan sebagainya dengan nilai bantuan antara 30 hingga 50 ribu ringgit bagi setiap komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata penjagaan ternakan organik perlu dilakukan dengan rapi tanpa melibatkan penggunaan ubat-ubatan.

Katanya, pencegahan dan kawalan penyakit juga perlu dibuat secara organik sepenuhnya selain memastikan sumber makanan dan persekitaran ternakan bebas daripada bahan kimia.

“Program Pertanian Organik merupakan program yang berkonsepkan penghasilan makanan secara organik tanpa melibatkan sebarang campuran bahan kimia dalam menghasilkan makanan yang bersih dan selamat digunakan,”katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, Sabah telah diperuntukkan lebih RM1 juta bagi melaksanakan Program Pertanian Organik (Ternakan) yang kebanyakannya melibatkan Projek Ternakan Ayam Kampung Organik.

Katanya, sebanyak 14 komuniti dari 23 kampung yang melibatkan 60 orang peserta dari kawasan Beluran juga telah dipilih bagi melaksanakan program pertanian organik (Ternakan).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *