COVID-19: 307 Kes Positif Baharu Di Sabah, 5 Kematian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jumlah kes harian positif COVID-19 di Sabah kembali meningkat hari ini dengan 307 kes, pertambahan 36 kes daripada jumlah kes semalam dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 235,724 kes. Manakala lima kes kematian turut dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Keningau serta satu kes masing-masing di Kota Belud, Papar dan Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Daerah Kota Kinabalu masih lagi menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan 47 kes, pertambahan 9 kes. Tiga daerah turut mencatatkan peningkatan kes iaitu Penampang 37 kes , Ranau 20 kes dan Papar 26 kes.

Bagaimanapun, jumlah pesakit COVID-19 sembuh ialah 400 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) lebih tinggi daripada jumlah kes positif hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 226,009 orang.

Sementara 1,169 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 536 orang di hospital, 623 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua orang di fasiliti swasta.

Masidi turut menyatakan bahawa risiko jangkitan COVID-19 secara sporadik di tempat-tempat sesak amat tinggi dan ini dibuktikan dengan peratusan kes-kes sporadik hari ini yang mencecah hampir 44%. Hari ini juga hampir 75% kes-kes baharu adalah dikalangan mereka yang sudah lengkap divaksin.

“Sekali lagi semua lapisan masyarakat diingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak kira sudah menerima vaksin lengkap atau sebaliknya. Ini lebih-lebih pada hujung tahun dimana ramai keluarga bercuti atau membeli-belah di tempat-tempat yang lazim dikunjungi ramai,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *