DUN Sabah : KPLB Sabah Akan Pastikan Pelaksanaan Bina Baharu & Baik Pulih Rumah PPRT Lebih Teratur

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan baik pulih rumah di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata, pada ketika ini ramai wakil-wakil rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas berhubung pelaksanaan baik pulih yang terkandung dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

Katanya, penglibatan semua pihak khususnya wakil rakyat amat diperlukan bagi mempastikan keberkesanan pelaksanaan program ini berjalan lebih teratur.

“Pada tahun ini, KPLB Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM78.2 juta membabitkan pembinaan rumah baharu sebanyak 512 unit manakala baik pulih sebanyak 2,892 unit rumah.

“Namun saya dimaklumkan oleh rakan-rakan wakil rakyat dimana ada yang tidak mendapat maklumat jelas berhubung pelaksanaan projek baik pulih dibawah PPRT ini.

“Justeru, saya akan membawa perkara ini kepada pihak Kementerian yang ada di Persekutaun agar proses pelaksanaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (STAR- Liawan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Annuar memaklumkan pada ketika ini program baik pulih rumah telah dikendalikan oleh Giat Mara namun pelaksanaannya tidak dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat selain terpaksa mengeluarkan peruntukkan sendiri bagi permohonan yang terdesak khususnya di kawasan beliau.

Beliau turut meminta agar dana bagi pelaksanaan baik pulih rumah itu terus dikendalikan oleh KPLB Negeri dan tidak lagi melalui Giat Mara.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Ewon Benedik turut meminta agar Giat Mara hanya memberi fokus kepada program latihan, program kemahiran dan tidak mengambil bahagian dalam baik pulih dan pembinaan PPRT selain perlu diberikan kuasa kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah.

Jahid berkata, beliau turut bersetuju dengan cadangan berkenaan dimana Giat Mara perlu memberi fokus kepada program latihan dan kemahiran dan tidak mengambil bahagian dalam baik pulih dan pembinaan PPRT

Terdahulu ketika menjawab pertanyaan lisan Annuar, Jahid berkata, Kerajaan Persekutuan melalui KPLB Persekutuan telah meneruskan program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) sebagai salah satu touch point utama kerajaan yang sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan dan mendahulukan kebajikan rakyat.

Katanya, salah satu komponen bantuan dalam SPKR adalah PPRT yang meliputi dua skop kerja iaitu Bina Baharu dan Baik Pulih bagi rumah yang uzur atau rosak disebabkan oleh bencana dan masih ekonomik untuk dibaiki.

“Sehubungan dengan itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada KPLB Persekutuan, bagi tahun ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM1.023 juta telah diperuntukkan untuk DUN Liawan yang meliputi 41 projek Baik Pulih dan 6 projek Bina Baharu .

“Kerajaan Negeri telah meminta kepada Kerajaan Persekutuan untuk komited memberi bantuan kepada semua DUN-DUN kawasan luar bandar terutamanya di Sabah berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *