HomeUtamaMUTIARA GRS Lawat 2 Rumah Warga Tua

MUTIARA GRS Lawat 2 Rumah Warga Tua

Read Time:1 Minute, 36 Second

PAPAR: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) hari ini mengadakan lawatan Muafakat Kasih di dua rumah warga tua di daerah ini iaitu Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut dan Holy Family Residence.

Rombongan program kebajikan di bawah Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu diketuai oleh Yang Dipertuanya yang juga isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Dalam lawatan itu, rombongan Muafakat Kasih menyerahkan sumbangan berupa barang-barang keperluan asas termasuk makanan, barangan dapur dan peralatan mandian serta sedikit bantuan kewangan untuk kedua-dua rumah warga tua berkenaan.

Isteri Ketua Menteri menyampaikan sumbangan itu kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Datin Rahimah Ahmad manakala Holy Family Residence diterima oleh pengendalinya, Sister Clara Juita.

Program ini adalah kerjasama antara MUTIARA GRS dengan Yayasan Kebajikan Sabah.

Sementara itu Naib Yang Dipertua III merangkap Pengerusi Biro Kebajikan, Datin Linda Ewit, berkata tujuan program ini adalah untuk membantu mereka yang terjejas terutama ketika pandemik COVID-19.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik.

“Ini adalah program kedua pada tahun ini dan kita agak terbatas mengadakan aktiviti kerana pandemik ini. Program ini adalah yang kedua pada tahun ini selepas aktiviti membungkua kuih raya sempena Ramadan dulu.

“Untuk tahun depan, Biro Kebajikan MUTIARA GRS sudah merancang beberapa program yang akan diadakan di seluruh Sabah,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Naib Yang Dipertua I, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Naib Yang Dipertua II Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan.

Linda berkata, Biro Kebajikan MUTIARA GRS memberi tumpuan kepada program yang melibatkan kebajikan warga tua, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin.

“Program kebajikan ini juga diadakan sejajar dengan saranan dan galakan yang diberikan oleh Ketua Menteri yang juga Penasihat MUTIARA GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang mahu semua isteri wakil rakyat turut membantu dalam aktiviti kebajikan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

300 peserta hadir seminar sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular