Ramzah, ums

UMS Anjur Persidangan Institut Confucius Se-Malaysia Yang Pertama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Persidangan Institut Confucius (CI) Se-Malaysia yang pertama baru-baru ini.

Ia disertai lima CI di negara ini iaitu Kongzi Institut Universiti Malaya, Confucius Institute SEGi University, Confucius Institute Universiti Malaysia Pahang, dan Confucius Institute Universiti College Technical Sarawak di Sibu dan CI UMS sendiri.

Berlangsung selama dua hari, persidangan itu turut disertai satu-satunya Confucius Classroom di Malaysia iaitu Sekolah Menengah Pay Fong, Melaka.

Majlis Perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Madya TS Dr Ramzah Dambul mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. TS. Taufiq Yap Yun Hin.

Dalam teks ucapannya, Taufiq memaklumkan, walaupun Malaysia mempunyai sekolah jenis kebangsaan Cina dengan penawaran bahasa Mandarin di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, namun penubuhan CI di institusi pengajian tinggi mempunyai peranan yang lebih luas.

“Hal ini disebabkan CI menawarkan pendidikan bahasa Mandarin kepada semua lapisan masyarakat, tidak kira keturunan, umur dan latar belakang pendidikan seseorang.

“Penubuhan CI di UMS sebagai contoh ialah hasil kerjasama antara UMS dengan Changsha University of Science and Technology.

“Kerjasama sedemikian bukan sahaja sangat penting dari segi hubungan universiti Malaysia dan China, malah meningkatkan aspek pendidikan antara kedua-dua universiti. Hal yang sama juga berlaku di semua CI lain di Malaysia,” katanya.

Ujar Taufiq, penganjuran persidangan buat julung kalinya itu antara lain bagi menjalin hubungan rapat dan kerjasama antara semua Confucius Institute dan Confucius Classroom di Malaysia.

“Berlainan dengan institut lain di universiti, setiap CI mempunyai dua orang Pengarah, iaitu Pengarah (Malaysia) dan Pengarah (China).

“Apa-apa keputusan dari segi pentadbiran, pendidikan dan aktiviti CI perlu ada persetujuan antara kedua-dua orang Pengarah ini.

“Oleh itu, hubungan yang erat antara kedua-dua Pengarah sangat penting bagi menjamin kecemerlangan pentadbiran CI,” jelasnya.

Taufiq berkata, setiap CI di Malaysia akan bergilir-gilir untuk menganjurkan persidangan sedemikian pada setiap tahun.

“Kesinambungan adalah penting dalam apa juga jenis persidangan, sama ada persidangan akademik mahupun persidangan pentadbiran.

“Benih baik yang ditaburkan kalian pada hari ini nescaya menghasilkan buah yang berkualiti baik kelak,” katanya.

Persidangan secara hibrid turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pentadbiran Changsha University of Science and Technology, Professor Fu Hongyuan; President of CCCC Dredging (Group) Co. Ltd, Liu Yongman; Konsul Jeneral China di Sabah, Liang Caide, Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao; Naib Presiden Chinese International Education Foundation, Zhao Lingshan, Pengarah CI UMS, Prof. Dr. Low Kok On dan Prof. Madya Deng Rong serta para Pengarah CI Malaysia dan China.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *