CENDERAMATA...Toh Puan Norlidah menerima cenderamata daripada Nuinda (dua dari kanan).

Purple Ride With Toh Puan Berlangsung Sabtu Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Program kayuhan basikal, Purple Ride With Toh Puan sepanjang 12.5 km akan berlangsung pada Sabtu ini.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias berkata program anjuran pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Maktab Sabah itu melibatkan seramai 250 pengayuh.

“Buat julung kalinya, Puspanita menganjurkan program kayuhan basikal untuk memberi peluang kepada golongan wanita yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal.

“Kita menerima banyak permintaan tetapi kita dah tutup selepas 250 orang kerana laluan amat terhad, jadi peserta adalah berdasarkan pendaftaran siapa cepat dia dapat.

“Kayuhan akan bermula di Maktab Sabah iaitu sekolah kesayangan Tuan Yang Terutama Tun Juhar, kemudian menuju ke Tg Aru sebelum singgah sebentar untuk berehat dan merakam gambar kenangan di Bangunan Puspanita melalui Jalan Mat Salleh.

“Kayuhan akan diteruskan ke SICC mengikut laluan yang dicadangkan oleh pihak Polis iaitu Jalan Sembulan (Masjid Negeri) untuk program silaturrahim selepas aktiviti warm down,” katanya ketika ditemui media di Istana Seri Kinabalu.

Dalam kunjungan hormatnya terhadap isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, pada Selasa, Nuinda menjelaskan pihaknya juga sedang merangka beberapa program outreach di luar daerah, dalam usaha memperkasa wanita persatuan terbabit ke seluruh Sabah menerusi tunjang 5K iaitu kelibatnya kelihatan, kerjanya mempamer institusi, kewangan berimpak tinggi, kecemerlangan terserlah dan kemilikan hak eksklusif.

“Kita merancang untuk mengadakan program kayuhan di samping mengadakan program outreach di daerah Papar, seperti yang dicadangkan oleh Toh Puan Norlidah.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan senamrobik bersama Toh Puan Norlidah di Padang Merdeka yang khusus untuk golongan wanita.

“Jadi, sama-sama kita berdoa semoga keadaan di Sabah ini segera kembali kepada sediakala supaya dapat kita laksanakan aktiviti-aktiviti yang telah kita rancang seperti kelas memasak, program pembangunan diri wanita, program kesihatan serta bersilaturrahim,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Program We Help 5.3, beliau mendedahkan, program tersebut akan diperluaskan ke daerah-daerah lain untuk membantu golongan wanita khususnya di luar bandar.

Tambahnya, program kebajikan food bank tersebut telah dilaksanakan di beberapa lokasi berbeza dengan kaedah yang berbeza antaranya, daerah Semporna, Tawau, Kunak, Sipitang, Kudat dan Kota Belud.- PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *