Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin

UMS Dukung Hasrat Kerajaan Lahirkan Ramai Usahawan Berdaya Saing

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited mendukung hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing pada masa hadapan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia merupakan fokus yang diberikan penekanan utama di bawah Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025, iaitu Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.

“Antara inisiatif yang digariskan termasuklah mendedahkan budaya keusahawanan ke dalam sistem pendidikan tinggi negara, serta anjakan minda dan paradigma pelajar UMS daripada bermatlamatkan untuk menjadi pencari kerja (job seeker) kepada pencipta pekerjaan (job creator) apabila mereka telah tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program APK Virtual Expo kali ke-2, kelmarin.

Program secara dalam talian itu merupakan anjuran Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).

Menurut Taufiq, pencari kerja pada masa kini sangat mencabar kerana graduan harus bersaing dengan pencari kerja berpengalaman yang kehilangan pekerjaan sebelum ini.

“Berbanding graduan universiti, kelebihan mereka ialah pengalaman kerja yang bertahun-tahun sebelum mereka kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

“Jadi para pelajar APK sekalian, terserah pada anda selepas ini sama ada mahu menjadi pencari kerja, ataupun menjadi pencipta pekerjaan dengan menjadi usahawan yang berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Taufiq turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kejayaan penganjuran program expo berkenaan.

“Pandemik covid-19 telah membataskan pergerakan fizikal pelajar dalam melaksanakan aktiviti Ekspo APK iaitu penjualan dan promosi yang biasanya dilakukan secara bersemuka sebelum ini.

“Semua ini tidak mematahkan semangat para pensyarah APK dan pelajar, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mereka meneroka kaedah terbaik bagi memastikan Ekspo APK tetap dapat dilaksanakan walau dalam apa cara sekalipun.

“Saya difahamkan aktiviti promosi dan penjualan produk dan perkhidmatan dilaksanakan oleh pelajar yang mengikuti kursus APK secara dalam talian sepenuhnya. Tahniah sekali lagi saya ucapkan,” katanya.

Dengan tema The Digital Transformation of Entrepreneurship as the New Normal, Ekspo APK diadakan selama enam hari sehingga 18 Disember ini.

Lebih 50 vendor telah mengambil bahagian melalui kaedah urus niaga menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *