Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah Ruslan Muharam.

Ruslan Muharam Presiden PBBS Baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

BEAUFORT: Pemangku Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Ruslan Muharam (gambar) dipilih sebagai Presiden baharu PBBS berikutan penarikan diri Datuk Isnin Aliasnih daripada bertanding jawatan Presiden semasa Mesyuarat Agung PBBS di dewan Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Bisaya dekat sini pada Sabtu. (18 Dis)

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat pertama selepas pemergian allahyarham Janang Gayuh Datuk Seri Lajim Ukin akibat COVID-19 pada Ogos lalu.

Isnin yang juga calon jawatan presiden PBBS menyatakan bahawa beliau memberi peluang kepada Ruslan untuk menerajui kepimpinan sebagai presiden PBBS yang baharu, dalam kenyataannya melalui video berdurasi 1.37 minit secara langsung di laman Facebooknya daripada tanah suci Mekah pada Jumaat.

Datuk Isnin Aliasnih
Datuk Isnin Aliasnih secara langsung menerusi laman Facebooknya mengumumkan penarikan diri sebagai calon Jawatan Presiden PBBS dari tanah suci Mekah pada Jumaat.

“Atas rasa musyawarah, setelah menunaikan solat Isyak dan sunat Istikharah, saya memaklumkan dan ingin beri peluang kepada Yang Berhormat Haji Ruslan Muharam selaku pemangku presiden untuk meneruskan sebagai tugas-tugas presiden.

“In sha Allah akan datang saya akan terus bersama saudara-saudara dan rakan-rakan yang mencalon, mencadang dan menyokong saya, saya ucapkan terima kasih, saya akan sentiasa ada bersama persatuan ini,” kata Isnin yang juga Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.

Susulan kenyataan Isnin itu, Ruslan yang mewakili barisan kepimpinan baru PBBS bagi sesi 2021-2024 turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Isnin di atas keputusan beliau yang tidak bertanding jawatan presiden PBBS.

“Beliau (Isnin) telah memberi keputusan yang bukan senang beliau lakukan iaitu tidak bertanding dalam jawatan presiden PBBS, malah memberi ruang kepada saya menerajui kepimpinan selaku presiden PBBS, ini kerana beliau lebih melihat berpihak kepada perpaduan masyarakat Bisaya dan bersama-sama berjuang dalam persatuan ini, ” kata Ruslan dalam ucapan ringkasnya selepas keputusan pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PBBS hari ini.

Terdahulu, Isnin turut menyatakan bahawa beliau akan terus membantu dan akan memberi sebanyak RM5,000 kepada persatuan tersebut setiap tahun serta awal tahun depan akan memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk membina sebuah gelanggang gasing seperti yang beliau janjikan kepada allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin dahulu.

“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya keluarga Bisaya supaya bersatu padu agar suku kaum ini terus terpelihara seterusnya ingin melihat bahawa kaum Bisaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain terutama di Sabah untuk mara kehadapan dengan kejayaan yang cemerlang dibawah naungan kepimpinan PBBS yang diterajui Ruslan Muharam selaku Presiden PBBS yang baharu bersama barisan pemimpin yang menang dalam persidangan pemilihan hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Isnin juga menyatakan pendiriannya akan terus bersama dalam mengangkat martabat PBBS serta membantu pihak PBBS bagi menentukan masyarakat Bisaya terus dibela dan PBBS mampu merealisasikan impian untuk kemajuan, keharmonian serta perpaduan bangsa yang bersatu padu.

Isnin bersama isteri dan anaknya kini sedang menjalankan ibadah umrah di tanah suci Mekah bermula pada 13 Disember lalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *