Banjir: PM arah Panglima ATM, KPN kerah lebih banyak aset, anggota

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggerakkan lebih banyak aset dan anggota susulan banjir teruk di Selangor dan negeri-negeri lain.

Ismail Sabri berkata beliau telah menghubungi Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung perkara itu.

“Saya telah hubungi PAT (Affendi) dan IGP (Acryl Sani) untuk menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu perpindahan mangsa-mangsa yang terperangkap di Selangor.

“Insya-Allah, kita akan cuba berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa-mangsa yang terperangkap untuk diselesaikan malam ini,” katanya pada sidang media mengenai situasi terkini banjir di Pusat Operasi Bencana Negara lewat malam tadi.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengisytiharkan darurat di Selangor dan Kuala Lumpur sekiranya banjir berterusan, Ismail Sabri berkata perkara itu akan terus dipantau dan diteliti.

“Saya telah menghubungi KSN (Ketua Setiausaha Negara), KP MKN (Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara) dan akan terus berkomunikasi dengan mereka dan sebagainya untuk tindakan selanjutnya,” kata perdana menteri.

Ismail Sabri berkata sebanyak 453 aset kenderaan dan logistik daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, PDRM, ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan telah diatur gerak untuk membantu mangsa dengan kekuatan seramai 2,817 anggota.

Beliau turut memberitahu bahawa talian hotline Pusat Pengurusan Bencana Negara iaitu 03-80642400 kini dibuka untuk bantuan dan kecemasan.

Sehingga 11 malam ini, seramai 11,384 mangsa daripada 4,500 keluarga ditempatkan di 188 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak berikutan banjir akibat hujan lebat sejak semalam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *