Sela Masa Dos Penggalak Disingkatkan Kepada Tiga Bulan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Sela masa bagi vaksinasi dos penggalak vaksin COVID-19 disingkatkan kepada tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia membabitkan vaksin Pfizer dan AstraZeneca (AZ) selain Sinovac yang memang ditetapkan sela masa selama tiga bulan.

Katanya, kumpulan kerja teknikal telah menilai bukti sedia ada dan memberikan saranan baharu mengenai pemberian dos penggalak COVID-19.

“Semua warga emas berusia 60 tahun ke atas dan semua individu dewasa yang menerima vaksin jenis  Pfizer, AZ dan Sinovac amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak mereka sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

“Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Khairy berkata, hasil dapatan kajian klinikal dan kajian Real World termasuk ‘The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines Under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Programme’ (RECoVaM) yang telah dijalankan di Malaysia telah menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 adalah berkurangan dengan masa.

Katanya, data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

“Selain itu, bukti kukuh yang telah terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak COVID-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

“Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan,” katanya.

Menurutnya, keputusan menyingkatkan sela masa itu adalah sama seperti yang dilakukan oleh badan-badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *