Program Doktor Kesihatan Awam UMS Bantu Lahir Pakar Tempatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Program Doktor Kesihatan Awam (DrPH) yang diperkenalkan di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membantu melahirkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dalam kalangan rakyat tempatan khususnya di Sabah.

Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, program pascasiswazah yang dibangunkan di bawah Jabatan Perubatan Kesihatan Awam menjurus kepada menghasilkan pemimpin kesihatan awam yang mempunyai kepakaran untuk menilai dan membangunkan intervensi menangani masalah kesihatan bagi keseluruhan populasi di Sabah khususnya dan di Malaysia secara amnya.

“DrPH UMS yang berada di tahap 8 mengikut Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, (MQF), telah menerima pendaftaran pertama pelajar seramai tujuh orang yang bermula pada September 2018.

“Mereka ini merupakan antara pelajar terbaik lulusan Sarjana Kesihatan Awam (MPH) UMS, dan kebanyakan pelajar dalam program ini adalah merupakan pegawai perubatan yang telah mendapat tajaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengikuti bidang kepakaran perubatan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Menurut Saffree, selain dapat memenuhi keperluan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, DrPH juga mampu menghasilkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di kalangan rakyat tempatan Sabah yang akan terus berkhidmat kepada negeri Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar DrPH, Dr Narinderjeet Kaur menyokong inisiatif UMS dalam membangunkan program pascasiswazah yang memberi manfaat bukan sahaja kepada doktor-doktor perubatan malah juga kepada masyarakat.

“Kami amat berterima kasih dan berbesar hati kerana berpeluang menyertai program ini.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi, kami berazam untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan awam terutamanya di negeri Sabah,” katanya.

Program Doktor Kesihatan Awam (DrPH) berjalan selama 3 tahun atau 6 semester sepenuh masa.

Penyelaras bagi program ini adalah Prof. Madya Dr. Fredie Robinson dari Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, FPSK, manakala Prof. Madya Dr. Syed Sharizman Syed Abdul Rahim mengetuai Jabatan Perubatan Kesihatan Awam FPSK.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *