Kerajaan Terus Beri Perhatian Keperluan Sekolah Agama, Tahfiz

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus memberi perhatian dan mengambil berat kepada keperluan semasa sekolah-sekolah agama termasuk pusat-pusat tahfiz berdaftar di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia bagi memberi keselesaan kepada para pelajar dan guru-guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

“Sepanjang lawatan dan pemantauan saya di beberapa buah sekolah agama termasuk menengah dan pusat tahfiz, saya melihat beberapa perkara perlu diambil berat dan perhatian.

“Antaranya kita memerlukan guru terlatih iaitu tambahan guru untuk mengajar di sekolah-sekolah agama (SMAN dan SAN), dari segi prasarana setakat ini Alhamdullilah semua sudah dilihat baik dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Buletin M-2Care Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) disini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Rosmadi Datu Sulai.

Mohd Arifin berkata, kerajaan juga akan berusaha menyalurkan bantuan kepada sekolah tahfiz dan madrasah berdaftar melalui bantuan zakat.

“Setiap tahun kita menyalurkan bantuan kepada sekolah tahfiz dan madrasah termasuk sekolah agama rakyat untuk pengurusan namun kita akan menilai sejauh mana bantuan tersebut dapat membantu mereka,”katanya.

Ketika ditanya mengenai prestasi kementeriannya, Mohd Arifin berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai apa yang kita laksanakan, kita telah laksanakan sebaik mungki, sehabis baik untuk pejabat kita dan umat seluruh negeri ini,”katanya.

Terdahulu, Mohd Arifin berkata, penerbitan Buletin M-2Care Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah itu merupakan edisi pertama dilancarkan merangkumi aktiviti dan program yang dilaksanakan kementerian bermula Januari sehingga Jun 2021.

Katanya, bermula 2022, pihaknya akan menerbitkan buletin sama sebanyak empat kali dalam setahun.

“Penerbitan buletin ini adalah untuk sebagai bacaan dan simpanan dokumetasi penting berkaitan aktiviti dan program yang kita laksanakan sepanjang 2021.

“Sebelum ini kita telah laksanakan jelajah ke daerah seluruh negeri Sabah untuk bertemu dengan pelajar, guru serta  pimpinan masyarakat untuk memjelaskan peranan kita dan menyampaikan sumbangan melalui pusat zakat Sabah,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *