Banjir : Sentiasa Patuh Arahan Pihak Berkuasa, Elak Penularan COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA MARUDU : Orang ramai khususnya yang terjejas banjir dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan sentiasa terjaga.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 berlaku.

“Apa yang perlu dan penting adalah, mereka yang terjejas dengan banjir perlu sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah masing-masing agar keselamatan mereka dapat dijaga.

“Disamping itu saya juga ingin mengingatkan bahawa kita masih dalam keadaan pandemik COVID-19 dan risiko jangkitan itu masih ada.  Justeru itu sama-samalah kita menjaga keselamatan dan kesihatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kota Marudu disini pagi tadi.

Shahelmey berkata, persiapan yang dilaksanakan PKOB daerah ini berada pada tahap siapsiaga dimana telah menyediakan keperluan dan kelengkapan yang diperlukan di setiap PPS.

“Segala persiapan termasuk ‘partition’ untuk penginapan mangsa banjir, tilam, bantal dan makanan bermasak semua telah disediakan oleh PKOB Kota Marudu.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persediaan yang mereka laksanakan,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, PKOB daerah ini juga akan turut menghantar bakul makanan kepada lima buah kampung yang terputus hubungan darat.

“Selain daripada PPS yang telah diaktifkan,  ada juga beberapa buah kampung yang terputus hubungan darat jadi kita telah berbincang dengan PKOB Kota Marudu untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada lima buah kampung terlibat di daerah ini,” katanya.

Terdahulu, sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak 13 buah PPS dibuah di Kota Marudu membabitkan seramai 2,765 mangsa terjejas banjir telah dipindahkan.

Selain itu, Shahelmey turut melawat ke beberapa buah PPS di sekitar Kota Marudu iaitu, PPS SK Teritipan, PPS SMK Tandek dan PPS SRA Damai, Kota Marudu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *