Geran khas Sabah akan dikaji jawatankuasa teknikal – Maximus Ongkili

Read Time:1 Minute, 6 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU, — Sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama akan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) di bawah Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bagi mengkaji cadangan Sabah untuk geran tahunannya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jawatankuasa teknikal itu juga akan meneliti tawaran balas kerajaan Persekutuan terhadap cadangan Sabah tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat pertama JCC MA63 antara Persekutuan-Sabah mengenai geran tahunan di Putrajaya hari ini, Ongkili berkata mereka juga membincangkan terma dan rujukan mengenai isu berkaitan geran khas Sabah.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun merangkap Menteri Kewangan II negeri, telah membentangkan permohonan Sabah untuk semakan semula geran tahunan bagi pembayaran balik tuntutan yang perlu dibayar segera kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan mengemukakan tawaran balas. Bagaimanapun, dalam mesyuarat selama dua jam itu, kami bersetuju untuk sebuah jawatankuasa teknikal mengkaji secara terperinci cadangan negeri dan tawaran balas kerajaan Persekutuan,” kata Ongkili.

Beliau berkata jawatankuasa itu berharap beberapa rumusan dapat dicapai mengenai tuntutan sebelum mesyuarat MKMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan depan.

Turut hadir Peguam Besar Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Rusdin Musidi Riman dan bekas Peguam Besar Sabah Brenndon Soh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.