Kerajaan Terus Laksana Usaha Tangani Cabaran Utama Sektor Pertanian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan terus melaksanakan usaha bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam sektor pertanian termasuk perubahan iklim.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementeriannya telah membangunkan hala tuju dasar negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bersandarkan tiga ciri utama iaitu kemampanan, daya saing dan kemajuan teknologi.

“Ini bagi menjadikan sektor agromakanan teguh dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi global dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Peralihan ke arah pemodenan dan aplikasi pertanian pintar serta pertanian tepat merupakan antara hala tuju sektor ini dalam mendepani cabaran perubahan iklim sekaligus menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri The 7th D-8 Ministerial Meeting on Agriculture and Food Security yang bertemakan “Promoting Climate Smart Agriculture” secara maya, disini semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pertanian Bangladesh Dr Muhammad Abdur Razzaque, selaku tuan rumah pada mesyuarat kali ini.

Ronald berkata, beberapa strategi khusus yang diambil bagi menyokong agenda perubahan iklim termasuk menggalakkan penggunaan teknologi dan automasi di dalam pendekatan pertanian pintar dan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk industri; mengukuhkan pengumpulan data berkaitan sekuriti makanan negara supaya dapat diakses dan dipantau termasuklah kesan perubahan iklim terhadap sektor pertanian dan mempergiatkan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi terhadap alternatif lain yang berpotensi supaya dapat disesuaikan dengan perubahan iklim.

Pada mesyuarat itu, beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk meneruskan kerjasama serantau dan kerjasama pintar dalam kalangan penggubal dasar, saintis, sektor swasta, serta komuniti agro secara umumnya.

Seterusnya mesyuarat telah mempertimbang dan memuktamadkan initiatif Dhaka dengan intipati utama dokumen tersebut antara lainnya adalah membangunkan halatuju bagi kerjasama dan perkongsian teknologi pertanian ke arah Climate Smart Agriculture.

Persidangan ini juga menjangkakan sokongan dari Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), Islamic Development Bank (IsDB) serta rakan strategik yang lain dalam membantu ahli-ahli negara D-8.

Objektif penubuhan D-8 adalah untuk menjadi pemangkin kepada kerjasama dalam bidang ekonomi melalui perkongsian kepakaran bagi memperbaiki kedudukan negara-negara anggota di dalam ekonomi global.

Skop kerjasama ini juga telah diperluas dan dipelbagaikan bagi mewujudkan peluang-peluang baharu dalam hubungan perdagangan sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Negara Anggota D-8 adalah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki dengan Sekretariat D-8 berpusat di Istanbul, Turki.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *