Keluar Warisan demi rakyat di Limbahau, bukan cari musuh – Juil Nuatim

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

PAPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Juil Nuatim berkata, tindakannya keluar daripada Warisan bukanlah berniat untuk memusuhi sesiapa tetapi demi rakyat yang diwakilinya.

Katanya, masih banyak pembangunan yang perlu dilakukan di Limbahau dan usaha ke arahnya menjadi sukar apabila berada di pihak pembangkang.

“Kita keluar bukan mahu bersaing tetapi agenda saya adalah untuk pembangunan di kawasan ini (Limbahau) sebab Limbahau adalah kawasan yang agak mundur dan terpencil sedikit, terutamanya di Mandalipau, Kaiduan, Bolotikon dan Gisuang.

“Saya juga selalu bangkitkan bahawa kawasan Tanaki, Mandalipau langsung tiada akses internet. Saya selalu suarakan di DUN dan kalau di (belah) pembangkang, suara kita tidak didengari.

“Namun, andai kita beri sokongan kepada kerajaan, kita akan dapat manfaat kerana ini adalah keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan portal FMT hari ini.

Juil berkata, tindakan itu juga bagi memanfaatkan generasi akan datang di kawasannya kerana masa untuk membangunkan Limbahau sudah agak terhad.

“Kalaulah saya sudah tiada, saya sudah sekian lama dalam politik, sudah pasti tiada kenangan saya dalam politik jika gagal membawa pembangunan ke Limbahau.

“Ia merugikan rakyat di kawasan ini juga jika terus menentang kerajaan, jadi saya berharap mereka faham dengan keadaan kami,” katanya.

Terdahulu Juil berkata, seramai kira-kira 300 ahli Warisan di Limbahau, termasuk ketua-ketua cawangan, jawatankuasa bahagian dan sayap belia serta wanita turut meninggalkan parti itu Ahad lepas.

Katanya, mereka meninggalkan Warisan untuk memberi sokongan kepada bekas naib presiden parti itu, Peter Anthony yang menubuhkan parti baharu.

Sebelum ini, Juil bersama Peter mengumumkan keluar Warisan untuk menubuhkan sebuah parti berbilang kaum yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Untuk rekod Juil memenangi kerusi DUN Limbahau dengan 5194 undi menewaskan 7 lagi calon parti lain termasuk calon dari PBS, Johnny Masitun yang hanya mendapat 2671 undi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *