Kerajaan Kaji Kaedah Terbaik Tingkat Kebolehpasaran Lepasan ABM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan akan mengkaji kaedah terbaik bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran lepasan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini termasuk memberi peluang kepada lepasan ABM memperoleh peluang ke peringkat lebih tinggi.

“Beberapa bidang yang dilaksanakan ABM kini telah melebihi daripada apa yang dijangka sehingga kita tidak boleh memenuhi keperluan atau permintaan pasaran.

“Namun sebenarnya sebelum mereka habis kursus pun mereka sudah ditawarkan peluang pekerjaan, ini sudah dikira baik dan cemerlang namun kita akan kaji bagaimana untuk mencapai bidang yang lebih tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perkongsian program Kupi-Kupi ABM Pilihan Ku di ABM Wilayah Sabah disini hari ini.

Arthur berkata, peluang ini juga akan turut memacu pembangunan sektor pembinaan di Malaysia.

Katanya, sejak tahun 2000, seramai 149,448 orang telah mengikuti program Latihan Kemahiran Belia di pusat latihan CIDB di seluruh negara.

“Berdasarkan kepada tracer study yang dijalankan oleh CIDB, kebolehpasaran lepasan pelatih di bawah Program Latihan Kemahiran Belia ialah sebanyak 88 peratus.

“Bagi ABM Wilayah Sabah pula, sehingga November 2021, seramai 18,813 belia telah mengikuti kursus di pusat latihan tersebut dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 65 peratus manakala seramai 25 peratus sedang menyambung pelajaran,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *