Pelajar UMS Rangkul Anugerah Inventor Muda Terbaik Dalam SIVIIC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul Anugerah Inventor Muda Terbaik Bidang Sains Sosial dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Maya Antarabangsa Sabah (SIVIIC), baru-baru ini.

UMS yang diwakili Hanif Abdurahman Siswanto, Alec Sean Tiannok Sunga dan Balqis Nasya Sajer menerima anugerah itu melalui ‘Chasoot Nugget’ iaitu sebuah produk makanan sampingan berasaskan sayuran.

Kesemua mereka merupakan pelajar kursus kokurikulum berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat  (INTERIM), Pusat kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dengan dibimbing jurulatih dan penasihat, Sakinah Ithnin serta Pengarah PKPP, Dr. Jurry Foo.

Menurut Dr. Jurry, keistimewaan produk inovasi daripada pucuk ubi kayu itu antaranya mempunyai khasiat yang baik dengan harga jualan yang mampu milik.

“Pada masa yang sama, ia boleh menarik minat masyarakat untuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dalam diet harian selain boleh membantu petani menambahkan pendapatan.

“Justifikasi idea ini juga adalah bersandarkan kepada kajian manfaat pucuk ubi kayu kepada kesihatan manusia dan juga isu obesiti dalam kalangan masyarakat.

“Dari segi pasaran, produk ini mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana limpahan ubi kayu di Malaysia, kemudahan pengeluarannya, dan fakta bahawa ia adalah nuget sejuk beku yang boleh disimpan lebih lama daripada makanan segar,” katanya.

Jurry berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pertandingan SIVIIC kali ke-2 itu merupakan anjuran Jabatan Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti dan Alumni (PJIMA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Bertemakan “Menukarkan Ketidakpastian Covid-19 kepada Peluang”, sebanyak 60 produk dan inovasi merangkumi bidang sains dan sains sosial telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Menurut Jurry, lima lagi  kumpulan lain turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila kesemua mereka masing-masing dinobatkan Anugerah Gangsa.

“Lima kumpulan pelajar UMS ini meraih pingat melalui produk Smart A-Bin, Charm-Dal Light, Innovation of Tombstone ‘Batu Nisan’, Friendly Wudhuk Hand Shock, dan produk Prayermate With Pocket .

“PKPP berhasrat meneruskan budaya reka cipta dan inovasi sebagai satu daripada kaedah penyampaian dalam Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang ditawarkan di UMS.

“Sebagai menjamin kualiti dan impak menyeluruh kepada pelajar, PKPP UMS bercadang untuk menganjurkan bengkel dan seminar bersama Majlis Pengarah Kokurikulum Universiti Awam Malaysia (UniCC) pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jurry memaklumkan bahawa pencapaian pelajar dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Kemahiran Reka Cipta dan Inovasi seperti yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah sangat relevan.

“Penerapannya sebagai satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam KKB amat bertepatan ke arah melahirkan pelajar holistik yang menguasai kemahiran insaniah kepimpinan dan interpersonal melalui kursus mata pelajaran umum  (MPU) yang wajib diambil oleh pelajar dalam pengajian mereka.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana pasukan PKPP UMS, khususnya penyelaras inovasi Dr. Sharifah Rahamah Amirul sangat komited dalam membangunkan modul inovasi dalam PdP di pusat ini. 

“Usaha ini juga adalah atas berkat sokongan UMS, terutama sekali daripada Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail, serta seluruh pucuk kepimpinan UMS,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *