Bot Karam, Nelayan Hilang Di Perairan Kudat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 2 Second

KUDAT : Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi Carilamat setelah menerima aduan mengenai tekong bot Lantingan yang gagal dihubungi sejak jam 5.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata,Operasi Carilamat diaktifkan pada jam 1.45 petang semalam dan mangsa, Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar utara Pulau Malawali.

Terdahulu, bot mangsa telah ditemui karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi, Kudat oleh bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 9.00 pagi semalam.

“Berikutan itu, aset Maritim Malaysia serta Polis Diraja Malaysia telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal.

“Bot-bot nelayan yang berada di kawasan berkenaan turut membantu dalam operasi Carilamat. Walaubagaimanapun, mangsa masih belum ditemui sehingga kini.

“Operasi Carilamat ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam dan akan diteruskan pada jam 7.00 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Chin Chau berkata, pihaknya turut dibantu sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Banggi bagi membantu usaha pencarian.

Katanya, Maritim Malaysia memohon kerjasama masyarakat sekitar Kudat khususnya untuk melaporkan sekiranya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk bagi membantu Operasi Carilamat ini di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24jam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *