MADA Sasar Peningkatan Pendapatan Peladang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 24 Second

KEDAH : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mensasarkan pendapatan peladang yang terlibat dengan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dapat ditingkatkan sehingga RM5,000 menjelang tahun 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, program itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam pengurusan sawah berpusat.

Katanya, ia bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah susulan pengurangan penglibatan orang tengah di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara yang dapat dimanfaatkan terus oleh pesawah yang menjadi matlamat utama pelaksanaan SMART SBB,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Pelaksanaan Program SMART SBB itu turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara MADA dan BERNAS yang disempurnakan oleh Pengurus Besar MADA dan Pengurus Besar BERNAS.

MoU itu adalah untuk memperincikan komitmen yang perlu diberikan oleh pihak BERNAS kepada peladang-peladang MADA yang menyertai Program SMART SBB.

Dr Ronald turut menyaksikan perjanjian menandatangani MoU yang ditandatangani oleh pihak MAFI bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta MoU MADA bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang akan bertindak sebagai syarikat dan badan peneraju.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat penyertaan sebanyak 19 syarikat peneraju termasuk  Lembaga Zakat Negeri Kedah yang telah menandatangani MoU dengan Kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar.

Dr Ronald turut merakamkan ucapan penghargaan kepada LZNK yang telah menyertai program SMART SBB sebagai badan peneraju.

“Keistimewaan tambahan program melalui LZNK ini adalah dengan menampilkan elemen kebajikan kepada pembangunan asnaf melalui penawaran khidmat bimbingan, latihan serta semua kemudahan berkaitan pembangunan industri dan beras.

“Bagi Musim 1/2022, MADA akan meneruskan Program SMART SBB dengan syarikat-syarikat peneraju yang berminat. Menjelang tahun 2025, MADA mensasarkan 10,000 hektar kawasan sawah padi akan terlibat di dalam Program SMART SBB,” katanya..

Sementara itu, Dr Ronald berkata, kejayaan program SMART SBB sebelum ini juga telah diterjemahkan melalui pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) MAFI.

Katanya, sehingga Oktober 2021, bilangan penglibatan dan hasil pendapatan kumpulan sasar iaitu pesawah, telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 280 peratus.

“Seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas lebih 9,500 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.

“Peningkatan hasil padi juga cukup memberangsangkan. Sebagai contoh, program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada 8 hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

“Pada awalnya, hanya 83 pesawah telah menyertai program ini tetapi kini penyertaan telah melebihi 800 pesawah,” katanya.

Beliau yakin dengan kesungguhan semua, program ini akan terus mencapai kejayaan besar yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan sasar.

Kawasan Muda merupakan kawasan jelapang padi terluas di Malaysia dengan kawasan sawah padi seluas 100,658 hektar dengan ahli-ahli peladang berjumlah 57,635 orang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *