Orang Ramai Diminta Tidak Buat Pembelian Ayam,Telur Secara Berlebihan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Orang ramai diminta untuk tidak membuat pembelian berlebihan selain tidak panik berikutan berlaku masalah kekurangan bekalan ayam dan telur yang melanda negara termasuk di negeri ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, bekalan ayam dan telur adalah mencukupi khususnya untuk keperluan harian pengguna dan peniaga.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah baru-baru ini dimana kita telah diberi jaminan bahawa bekalan tersebut masih stabil dan mencukupi.

“Meskipun diakui bahawa bekalan ayam dan telur berkurangan sekitar 10 hingga 20 peratus, namun penternak dan pemborong memberi jaminan bahawa barangan tersebut masih mencukupi untuk keperluan penduduk di Sabah,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

David berkata, Sabah turut mempunyai alternatif bekalan makanan laut yang banyak dimana ia boleh didapati untuk dijadikan makanan harian dengan harga berpatutan.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan agar tidak ada peniaga yang menyorok bekalan ayam dan telur atau menaikkan harga sesuka hati.

“Selain itu saya turut meminta orang ramai memberi kerjasama dengan melapor kepada pihak berkuasa khususnya KPDNHEP jika mendapati ada pasar raya atau peniaga yang melanggar undang-undang termasuk menjual melepasi harga kawalan atau harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak persatuan juga berharap agensi penguat kuasa yang lain seperti Polis Marin, APMM dan sebagainya terus mengawal ketat cubaan menyeludup barangan keperluan dan bersubsidi terutama di perairan negeri Sabah yang sangat luas.

“Kita harap pihak bertanggungjawab mengetatkan kawalan supaya bekalan keperluan bagi rakyat Sabah khususnya barangan bersubsidi tidak seludup keluar bagi memastikan keperluan rakyat Sabah mencukupi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *