COVID-19 : 518 Kes Jangkitan Libatkan Kanak-Kanak Belum Divaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 518 daripada 3,891 kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini adalah di kalangan kanak-kanak yang masih belum dan tidak layak menerima vaksinasi COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah kanak-kanak yang dijangkiti, seramai 189 merupakan kanak-kanak dibawah usia lima tahun manakala 329 adalah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Adalah amat digalakkan agar para ibu bapa dan pengurusan sekolah untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan keatas kanak-kanak kecil apatah lagi mereka yang belum layan diberi vaksin.

“Pada hari ini juga sebanyak 99.74 peratus atau 3,881 pesakit adalah dalam kategori satu dan dua; empat pesakit dalam kategori tiga, empat dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu terus mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan  914 kes (-315) tetapi jauh lebih rendah daripada catatan semalam.

Katanya, tiga daerah merekodkan peningkatan yang banyak iaitu Tuaran 414 kes (+143), Sandakan 478 kes (+95) dan Papar 256 kes (+92) manakala Kota Belud mencatatkan penurunan sebanyak -98 kes namun masih lagi kekal dengan catatan kes tiga angka.

“Kes-kes jangkitan secara sporadik (saringan bergejala) menjadi faktor dan penentu utama jumlah kes di daerah-daerah yang mencatat kes harian yang tinggi.

“Secara keseluruhan 58.52 peratus (2,277 kes) daripada 3891 kes hari ini adalah kes-kes saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Peratusan kes-kes jangkitan sporadik di daerah-daerah yang mencatatkan kes tiga angka adalah tinggi; Kota Kinabalu 68 peratus, Sandakan 78 peratus, Tuaran 49.2 peratus, Penampang 45.7 peratus, Papar 55.8 peratus, Tawau 57.1 peratus, Lahad Datu 60.8 pertaus, Beaufort 52.6 peratus, Ranau 85.7 peratus dan Kota Belud 42 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, peratusan jangkitan secara sporadik (bergejala) yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas di kawasan-kawasan tersebut dan akan menjadi faktor penentu kepada jumlah kes baharu dalam masa terdekat.

“Walaupun jumlah hari ini turun sedikit berbanding semalam tetapi kemungkinan besar tidak akan bertahan dengan mengambilkira peratusan kes-kes jangkitan sporadik yang amat tinggi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *